Monday, March 5, 2012

Travelog Pesta Buku Antarabangsa Mesir


Penulis bergambar di hadapan laluan masuk utama Pesta Buku Antarabangsa Mesir.


Pesta Buku Antarabangsa Mesir ke-43 merupakan antara pesta buku di dunia yang ada keunikannya tersendiri. Namun, penyertaan tahun ini agak kurang sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Selain menghimpunkan 745 penyertaan dari 29 negara dengan majoriti (67 peratus) penyertaan adalah dari Mesir, ia turut disertai oleh penerbit-penerbit dari lebih 30 negara Arab lain seperti Arab Saudi, Lubnan, Syria, Maghribi, Iran, Tunisia, Algeria, Emiriah Arab Bersatu dan sebagainya. Ada juga penerbit dari Eropah seperti Itali, Jerman dan Perancis.

Jumlah buku yang dipamerkan pula daripada pelbagai genre seperti perubatan, sastera, ilmu-ilmu sains, kanak-kanak, sejarah, kraftangan, pengurusan, falsafah, novel, pendidikan dan macam-macam lagi dengan genre terbesar adalah agama dalam pelbagai topik dengan sebahagian besar (80 peratus) adalah dalam bahasa Arab.

Pesta buku itu diadakan di pusat pameran terbuka dan berpagar yang seluas hampir saiz tiga atau empat padang bola.

Setiap pelawat perlu membayar tiket 10 Pound Mesir atau RM5 sekali masuk. Pelawat juga perlu melalui pintu kawalan keselamatan yang ketat seperti di pintu masuk berlepas lapangan terbang.

Dalam kawasan pesta buku itu ada tidak kurang 20 dewan pameran yang diperbuat sama ada daripada kanvas atau papan. Setiap dewan besar ini mengandungi tidak kurang 50 gerai pameran kecil.

Ada juga penerbit yang menempah tapak pameran dan mendirikan pusat pameran mereka sendiri seperti sebuah kedai buku dengan pelbagai saiz keluasan.

Bagi negara Arab Saudi mereka ada dewan sendiri yang agak mewah dengan dihiasi dan dibina mengikut identiti negara itu.

Dewan Arab Saudi menempatkan lebih 30 gerai penerbit dari negara terbabit, termasuk penerbit pusat-pusat pengajian mereka.

Difahamkan, disebabkan kerana luasnya tapak pesta buku ini, pihak penganjurkan menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik atau shuttle untuk mengelilinginya. Walaupun dengan menaiki shuttle, lawatan sehari belum cukup untuk 'menziarahi' keseluruhan gerai buku yang ada.

Antara kemudahan lain adalah dua medan selera dan sebuah masjid untuk kemudahan solat fardu dan solat Jumaat.

Terpaksa guna troli

Bagi mereka yang pertama kali melawat pesta buku Mesir, mungkin agak pelik melihat pelawat yang datang membawa troli kecil atau beg galas yang besar.

Ini kerana kebanyakan pengunjung terutama pelajar datang membeli buku dengan jumlah yang banyak.

Apatah lagi kebanyakan buku bahasa Arab adalah berkulit tebal, maka beg beroda atau troli adalah satu keperluan. Malah kemungkinan besar belum sempat melawat separuh daripada tapak pesta buku, troli sudah dipenuhi dengan buku.

Jika tidak larat memikul buku kerana terlalu banyak yang dibeli, pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan tidak rasmi daripada anak-anak muda Arab untuk mengangkut dengan membayar sedikit upah.

Sekiranya hendak mengirim buku terus ke negara asal, pihak penganjur juga menyediakan perkhidmatan kargo sama ada melalui udara atau laut.

Di sebalik kehebatan pesta buku tersebut, sebenarnya ia lebih kepada pesta menjual buku dan bagi urusan pelesenan atau jual beli hak penterjemahan.

Bagi para penerbit atau agen penerbitan yang datang atas tujuan utama membeli dan melesen hak penterjemahan, ia sebenarnya masih banyak kekurangan.

Kita perlu berbincang di gerai pameran dengan tuan punya syarikat penerbitan yang terkenal dan mempunyai buku-buku terlaris.

Tidak ada tempat khas yang lebih selesa untuk berbincang.

Cuma ada sebilangan kecil penerbit besar yang profesional akan menjemput ke pejabat mereka.

Sekiranya hendak membeli atau memberikan hak untuk menterjemah, kita perlu membayar secara tunai dalam menggunakan dolar Amerika Syarikat. Ini untuk mendapatkan hak judul pula perlu membayar jumlah keseluruhan secara tunai.

Apabila sudah langsai barulah mereka akan mengeluarkan surat perjanjian.

Ia memang agak berbahaya dari segi keselamatan, namun 'pak-pak Arab' itu hanya akan percaya apabila melihat duit tunai depan mata mereka.

Rombongan dari Malaysia hanya berkesempatan melawat pesta buku ini selama lima hari. Ketika Hari Kemarahan, pesta buku ini ditutup selama dua hari. Tidak ada sebarang kekecohan berlaku.

Mereka sempat 'memborong' buku-buku, sama ada untuk bacaan peribadi atau untuk tujuan penyelidikan.

Sebahagian dibawa pulang bersama, manakala sebahagian lagi dikirim melalui kargo yang diuruskan oleh pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar.

Pengalaman singkat itu amat bermakna kerana selain dapat menjalin hubungan dengan penerbit Mesir, ia juga dapat membina jalinan persahabatan dengan pelajar-pelajar Malaysia melalui Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Bagi mereka yang berkesempatan melawat Mesir, selain daripada menziarahi tempat bersejarah, amat menarik sekiranya dapat singgah ke pesta buku ini.

Sekalipun tidak membeli buku kerana kebanyakannya buku dalam bahasa Arab, sekurang-kurangnya kita dapat melihat betapa budaya ilmu di Mesir tersemai sejak kecil lagi.

Apabila menziarahi Pesta Buku Islam di Putrajaya baru-baru ini, terasa amat gembira.

Sekurang-kurangnya, selain Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC, negara kita akan ada acara buku tahunan yang besar seperti negara jiran yang setiap tahun sekurang-kurangnya ada tiga penganjuran pesta buku besar, termasuk Pesta Buku Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: