Monday, March 5, 2012

Belajar menjahit untuk berdikari


Nuratikah Martha menunjukkan pakaian yang dijahitnya menggunakan mesin jahit yang dibekalkan oleh Lembaga Zakat Selangor.


BERCITA-CITA membesarkan anak sehingga menjadi seorang al-hafiz (penghafal al-Quran) terus bersemi jauh di lubuk hatinya. Cita-cita itu juga tumbuh subur seiring dengan usaha untuk membebaskan diri dan keluarganya daripada belenggu kemiskinan.

Baginya, kejayaan perlu dirintis, biar susah tetap juga perlu diraih. Dengan keyakinan itulah, Nuratikah Martha, 38, mengayuh keyakinannya membuka laluan yang lebih cerah dalam relung-relung kehidupannya.

Ikutilah catatan Jejak Asnaf kali ini, kisah kecekalan seorang ibu tunggal untuk hidup berdikari.

"Saya berasal dari Kuching, Sarawak. Namun saya sudah menetap di Semenanjung Malaysia sejak tahun 1996 lagi.

"Sebut fasal kesusahan, saya memang sudah lama merasai keperitan hidup. Sejak belum berpisah dengan suami lagi, saya memang sudah sedia payah. Namun, apa yang penting ialah saya mahu merubah apa yang susah dan tidak tinggal dalam pasrah," demikian Atikah memulakan bait-bait bicaranya.

Jelas dia tidak pernah sesal dengan liku-liku tragis yang pernah melanda usia kehidupannya. Biarpun perkahwinannya gagal sejak enam tahun sudah, dia tidak kalut. Mungkin ada hikmah di sebalik semua itu yang perlu dia rebut.

"Selepas berpisah pada tahun 2007, saya cuba mencari pekerjaan. Saya pernah bekerja di syarikat swasta. Namun itu tidak lama. Anak-anak saya seramai tiga orang itu susah untuk ditinggalkan.

"Perancangan Allah selalunya luar biasa. Siapa duga, dalam kesusahan itulah, saya ditakdirkan bertemu dengan sebuah keluarga yang amat pemurah dan penyantun.

"Merekalah yang bertanggungjawab memberikan biaya dan galakan agar saya belajar menjahit, agar dengan itu saya mampu berdikari," kata Atikah.

Ibu tunggal dengan tiga anak yang berusia di antara lima hingga 13 tahun ini terus ghairah bercerita.

Menyelak kembali helaian kesusahan zaman silam, Atikah tidak lokek menceritakan, kala itu kesusahan amat mencengkam perasaan.

"Bayangkan, rumah sewa saya sudah enam bulan tidak berbayar. Apa yang lebih menyedihkan, kala usia perkahwinan sudah di hujung dahan, bekas suami saya tidak memberikan apa-apa sebagai bekalan.

"Dek kerana masalah hutang juga, saya sering menerima kunjungan beberapa pihak yang menagih wang mereka. Rimas saya dibuatnya. Masakan saya mampu membayar, jika hidup pun ala kadar.

"Mujurlah, kala itu juga ada pihak akhbar yang simpati dan mereka memasukkan kisah saya ke dalam media. Lanjutan dari itulah, tidak lama kemudian pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) datang dan membuat bancian.

"Saya didapati layak sebagai asnaf zakat dan pihak LZS pun segera menguruskan beberapa keperluan," tambahnya.

Atikah masih ingat, LZS memberi bantuan segera menjelaskan tunggakan sewa rumah selama enam bulan.

Selain itu, LZS juga menyediakan keperluan lain, antaranya bantuan sara hidup dan pendidikan anak-anak.

"Baharulah saya terasa nikmatnya hidup dengan adanya zakat," ujar Atikah lagi.

Menyentuh mengenai pendidikan anak-anaknya, Atikah memang amat menekankan aspek itu agar mereka tidak terabai.

Kala susah, beliau tetap berusaha memberikan apa yang termampu kepada mereka. Demi melihat masa hadapan anak-anaknya terjamin, beliau sanggup berpisah dengan anak sulungnya, Muhammad Wafi, yang dihantar belajar di sebuah sekolah tahfiz sejak usianya tujuh tahun.

"Alhamdulillah, kini anak sulung saya itu sudah berusia 13 tahun dan sedang menyambung pelajaran menengahnya di sebuah madrasah di Mesir. Beliau ke sana pun atas tajaan pihak-pihak tertentu," ujarnya bangga.

LZS bagi modal

LZS melihat kerajinan dan kesungguhan Atikah ini memang perlu dibantu. Untuk itu, LZS menyediakan modal perniagaan demi memastikan beliau tidak tersangkut di pertengahan jalan.

Hakikatnya Atikah amat berterima kasih kepada LZS, kerana banyak membantu. Antaranya, dua mesin jahit dibekalkan di samping banyak lagi bantuan modal ketika dia mula-mula menceburi perniagaan jahitan ini.

"Pokoknya, sejak tahun 2008 hingga kini, sudah lima tahun perniagaan saya bertapak dan LZS sentiasa memantau perkembangan saya. "Alhamdulillah, sambutan masyarakat juga nampaknya memberangsangkan. Insya-Allah, tidak lama lagi saya akan dapat mengecapi kebebasan dan keluar dari kumpulan asnaf," katanya.

Bagi Atikah, zakat amat berperanan membangunkan kalangan asnaf kerana telah terbukti ia membantu merealisasikan impiannya selama ini.

"Terima kasih kepada LZS dan semua pembayar zakat. Saya akan terus berusaha, kerana saya tahu, satu masa nanti saya mahu menjadi pembayar zakat.

"Itulah cita-cita saya dan saya akan berusaha menjadikannya satu kenyataan," katanya menutup bicara.

Nota: Untuk menempah pakaian, Nuratikah Martha boleh dihubungi di emel anum.mekar@yahoo.com atau talian 019-2505041.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: