KE MANA sahaja jejaka ini pergi, pasti segala gajet yang dimiliki akan sentiasa berada dalam genggamannya.
Bukan mahu berlagak atau pun menunjuk-nunjuk tetapi bagi penyampai Nasional FM ini, gajet merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan sehariannya.
Tambahan pula empunya nama Muazanazzudin Mohamed atau lebih mesra disapa Muaz ini sememangnya sentiasa ingin mengikuti perkembangan semasa dengan pantas.
"Bagi saya kepesatan teknologi daripada segi tablet dan juga pemain muzik sedikit sebanyak membantu dalam memudahkan urusan dalam kehidupan seharian.
"Contohnya, saya gunakan iPod untuk mendengar muzik, Galaxy Tab pula berkomunikasi dengan rakan-rakan melalui laman sosial Twitter atau Facebook mahu pun untuk melayari internet di mana-mana sahaja.
"Sementara Playstaion Portable (PSP) pula saya gunakan untuk bermain permainan video ketika waktu lapang dan juga ketika ingin melepaskan tekanan," katanya ketika ditemui di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, anak muda berusia 28 tahun juga gemar membaca novel grafik dan juga buku motivasi.
"Kalau saya rasa ingin membaca sesuatu yang santai dan ringan saya akan baca novel grafik.
"Tetapi untuk bacaan serius, saya lebih meminati buku motivasi kerana dalam masa yang sama ia dapat memberi keyakinan kepada saya untuk berhadapan dengan situasi harian," jelasnya.
Selain itu, anak kelahiran Johor ini juga mengakui turut mengikut perkembangan semasa setiap gajet yang dimilikinya.
Namun dalam kegilaannya mengumpul gajet, terselit juga kisah sedih dan juga pengajaran kepada orang lain agar perkara yang sama tidak berulang.
"Sebelum ini saya pernah memiliki iPad 2 dan juga iPod tapi malangnya barang-barang berkenaan telah dicuri di sebuah pusat membeli belah sekitar Petaling Jaya.
"Menyesal sangat rasanya apatah lagi ia berlaku ketika saya sedang berada di pusat beli belah berkenaan. Tapi salah saya juga kerana meletakkan gajet berkenaan di bonet belakang kereta.
"Perkara tersebut saya jadikan iktibar agar tidak berulang kembali.
"Seboleh-bolehnya kalau kita ingin meninggalkan kereta walaupun sekejap, pastikan tiada barang berharga yang ditinggalkan di dalam kereta. Risau kalau berlaku apa-apa nanti, memang menyesal," kata Muaz dalam nada sedih.
Melangkah dari bawah
Sememangnya meminati bidang penyiaran daripada bangku sekolah lagi, akhirnya kini Muaz sudah boleh berbangga dengan apa yang berjaya dikecapinya sekarang.
Bermula sebagai pengacara untuk rancangan Landskap setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang penyiaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), rezeki Muaz dalam bidang tersebut sentiasa ada.
Namun untuk mencapai ke tahap yang dikecapinya sekarang, kata Muaz, jalan yang dilalui bukan mudah.
"Jujurnya saya sangat meminati bidang penyiaran terutamanya sebagai penyampai radio. Untuk dikenali sehingga ke tahap sekarang, sememangnya kena banyak bersabar.
"Pada mulanya memang ada pihak tidak yakin dengan kebolehan saya menjadi pengacara rancangan.
"Tapi setelah saya diberi peluang untuk menjadi pengacara kepada rancangan Diva@1 di saluran TV1, peluang untuk menjadi pengacara rancangan mula datang.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang saya kecapi ketika ini. Apa yang penting bagi saya, jika kita minat sesuatu perkara itu, lakukannya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
"Insya-Allah, lama-kelamaan orang akan nampak hasil kerja yang kita lakukan dan jangan sekali-kali mudah lupa diri," kata anak sulung daripada tiga beradik ini yang merancang untuk mendirikan rumah tangga pada awal tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: