Monday, March 5, 2012

Tidak selembut disangka

BAKAT...Lisdawati sedang mendalami aksi lagak ngeri untuk lakonan filem Pak Pong.
BAKAT...Lisdawati sedang mendalami aksi lagak ngeri untuk lakonan filem Pak Pong.

BUKAN sekali dua suaminya terkena gosip liar dan kontroversi. Sekali lagi rumah tangga pelakon terkenal Lisdawati, 32, dan suaminya, Fauzi Nawawi, 38, berdepan dengan ujian getir apabila tersebar gosip di Internet suaminya dikatakan ada kekasih gelap, baru-baru ini.

Namun, pasangan suami isteri ini lebih suka bersikap matang dan tidak ingin cepat melatah. Mereka percaya gosip nakal terbabit hanya ingin menguji kebahagiaan rumah tangga mereka. Apapun yang terjadi, Lisda akan mempertahankan suaminya itu.

  • Foto

    DEBARAN...Lisdawati akan menari bersama beberapa rakan pelakon pada malam kemuncak ABPBH2011 pada 8 April nanti.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    LISDAWATI...tulang belakang Fauzi Nawawi.

Hakikatnya, rumah tangga Lisdawati dan Fauzi yang dibina empat tahun lalu tetap bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata, Nur Aini Farhana, tiga tahun setengah dan Nur Aina Fazneesya, dua tahun dua bulan. Kasih mereka tambah kukuh dan persefahaman semakin menebal.

Bagi Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, dia hanya mahu menjadi isteri yang taat. Itulah bukti cinta seorang isteri terhadap suaminya yang juga ayah kepada anak-anaknya. Dalam Islam juga, seorang isteri memang dituntut untuk menjaga aib dan nama baik suaminya.


Bukan saja sentiasa berdiri teguh di belakang suami, Lisdawati cukup mengagumi bakat besar suaminya sebagai pengarah dan pelakon lagak ngeri untuk pelbagai drama dan filem. Dia juga mahu menjadi pelakon yang lasak cuma tidak mendapat peluang.


Selain itu, Lisdawati ingin mendalami ilmu lagak ngeri (stunts) yang memang sudah sebati dalam diri Fauzi, sejak dulu lagi. Fauzi sedang mengarahkan filem pertamanya berjudul Pak Pong.

“Apabila mendapat tawaran berlakon filem Pak Pong, saya berazam untuk buat dengan bersungguh-sungguh agar lakonan saya hidup. Saya sudah lama kenal Fauzi iaitu sejak dia menjadi pelakon lagak ngeri lagi. Dia memang selalu melakukan aksi berbahaya.

“Insya-Allah, saya akan buktikan kepada semua peminat, saya tidaklah ‘selembut’ yang mereka sangkakan selama ini. Bagi meningkatkan stamina, saya juga kerap ke gimnasium untuk bersenam demi menjayakan babak lagak ngeri dalam filem,” katanya.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam karya sulung sentuhan suaminya itu, kata Lisdawati, dia menimba ilmu baru sepanjang penggambaran filem itu, baru-baru ini.

“Saya baru selesai menjayakan babak dalam filem Pak Pong yang membabitkan tempoh lima hari saja. Saya pegang watak jahat sebagai jin tanah dan hanya buat dua babak saja termasuk pertarungan dengan orang bunian.

“Watak saya kecil saja tapi ia tetap memainkan peranan penting dalam filem ini.
Saya juga perlu berlatih buat lagak ngeri untuk menjiwai watak berkenaan.

“Pada masa sama, saya juga ingin buktikan kepada orang, di sebalik imej lemah lembut ini, saya sebenarnya wanita lasak dan setanding dengan lelaki. Saya juga jadikan pelakon filem Underworld, Kate Beckinsale sebagai idola saya dalam lakonan,” katanya.

Lisdawati juga menghadapi cabaran besar dalam menjiwai watak diserahkan dalam filem itu.

“Saya akui ia memang sukar kerana watak jin tanah itu sungguh lasak. Saya pernah terjatuh dan terhentak kepala ketika asyik belajar buat babak lagak ngeri dengan sepasukan lagak ngeri yang diketuai Fauzi selama tiga minggu.

“Saya sanggup belajar buat lagak ngeri kerana ingin nampak kuat apabila wujudnya babak pergaduhan. Ia juga percubaan pertama dan saya tak gayat apabila tergantung menggunakan kabel. Selain itu, saya juga berlatih dalam air untuk membuat salah satu aksi untuk watak jin tanah itu,” jelasnya.

Mungkin ramai yang tak percaya, sekalipun Fauzi bergelar pengarah, Lisdawati tidak mendapat layanan istimewa daripada suaminya dalam filem Pak Pong.

“Suami layan sama rata semua pelakon dan kru dalam filem ini. Saya juga dimarahi Fauzi jika tidak dapat menjiwai watak jin tanah seperti dikehendakinya.

“Sebagai pengarah, Fauzi lebih tahu apa yang diperlukannya dalam filem itu.
Pada masa sama, kami juga tidak ada masa nak ‘berkepit’ sepanjang di lokasi penggambaran filem ini kerana Fauzi sibuk bekerja menyiapkan semua babak penggambaran,” katanya.

Tambah Lisdawati lagi, jika di lokasi, Fauzi adalah pengarah dan hubungan suami isteri hanya wujud di rumah saja.

“Ini kali pertama kali Fauzi mengarah filem dan saya gembira mendengar komen positif daripada seluruh tenaga produksi yang suka bekerja di bawah arahannya.
Fauzi tidak garang tapi kelakar di lokasi. Apabila bekerja, dia sangat fokus,” ujarnya.

Sementara itu, Lisdawati teruja apabila dia dan suaminya terbabit dalam segmen pembukaan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), 8 April nanti.

Kata Lisdawati, dia akan menari bersama Fauzi, Ezlynn, Maria Farida dan ramai lagi.

“Sebagai pelakon, saya anggap peluang buat persembahan pada malam kemuncak ABPBH2011 nanti satu penghargaan dalam karier seni. Maklumlah, selama ini hanya penyanyi yang selalu mendapat peluang itu.

“Kami masih berbincang mengenai konsep persembahan kami nanti,” katanya yang bakal menggayakan rekaan Shila Mohamad untuk menyemarakkan lagi acara berprestij itu.

Dalam perkembangan lain, Lisdawati bakal terbabit dengan penggambaran telemovie, Ibu Tiri untuk TV3. Antara lakonannya sebelum ini adalah drama bersiri, Dia Bukan Maryam arahan Erma Fatima untuk TV9.



Trivia Lisdawati

  • Kali terakhir anda menangis?
    Ketika menjiwai watak dalam lakonan pada Januari lalu

  • Sajian kegemaran suami?
    Sambal tumis udang dan masak ketam

  • Hadiah harijadi paling mahal dihadiahkan suami?
    Rantai emas

  • Aset atau harta yang nak dibeli?
    Rumah banglo 10 bilik

  • Sifat lelaki yang paling dibenci?
    Penipu, pengotor dan pukul perempuan

  • Aktres Hollywood yang menjadi idola?
    Jessica Alba

  • Destinasi percutian idaman?
    Eropah dan Itali
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: