Saturday, March 10, 2012

Teroka keunikan sungai, hutan hujan dan laut Sabah



“THAT is Blue-eared Kingfisher (burung raja udang). Dia tengah tidur,” kata pemandu bot kami pada malam itu dalam loghat Sabah yang pekat. Penerangan ringkas itu disambut dengan hanya satu perkataan, “Wahh...” sebelum semuanya sibuk merakam gambar makhluk kecil berkepala biru itu.

Saya sebenarnya lebih kagum dengan kebolehan lelaki berusia kira-kira lewat 30-an itu yang mampu mengesan binatang pada waktu malam gelap pekat. Hanya bertemankan lampu suluh yang terangnya seperti lampu sorot kereta, matanya cekap mencari binatang-binatang yang ada di tebing sungai.

Hampir dua jam di atas bot, banyak juga binatang yang sempat dilihat. Burung hantu, musang dan paling menyeramkan pastinya seekor ular sawa sepanjang kira-kira dua meter yang bergerak malas selepas kenyang menjamu selera.

Sebelum pulang ke rumah penginapan di Proboscis Lodge, enjin bot dimatikan di tengah-tengah sungai. Kami semua diberi peluang menikmati pemandangan langit yang cerah dan penuh dengan bintang. Lupakan semua perkara lain, termasuklah buaya-buaya yang mungkin ketika itu sedang berenang santai berhampiran bot.

Pada petangnya, kami menjalani aktiviti sama. Menaiki bot dan melihat haiwan liar yang ada di sepanjang Sungai Kinabatangan. Paling banyak kelihatan ialah beberapa spesies monyet, termasuklah monyet berhidung besar atau nama orang putihnya, Proboscis monkey. Menjadi sungai terpanjang di Sabah (560 kilometer), Sungai Kinabatangan merupakan nadi kehidupan kepada penduduk di sana.

Ini bukan rombongan yang dikendalikan oleh Tourism Malaysia atau mana-mana agensi kerajaan berkaitan pelancongan. Sebaliknya, aktiviti menyusuri Sungai Kinabatangan itu adalah sebahagian daripada program Dura-Mission Kinabatangan - Semporna 2012 (Dura-Mission 2012) yang disusun khas oleh pihak Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (Isuzu Malaysia).

Berpeluh dahi

Dura-Mission bolehlah dikatakan sebagai aktiviti serampang dua mata. Selain menguji kemampuan sebenar trak pikap Isuzu D-Max, ia juga memberi peluang kepada para peserta untuk menikmati keindahan alam sekitar serta keunikan tempat yang dikunjungi. Setakat ini, lokasi kegemaran Isuzu Malaysia ialah Borneo.


KUMPULAN media dan kru Isuzu Malaysia yang menjayakan cabaran Dura-Mission Kinabatangan - Semporna 2012.


Berdasarkan berpengalaman menyertai Dura-Mission pada tahun 2009, saya sudah dapat mengagak bahawa Dura-Mission 2012 sememangnya tidak akan mengecewakan. Kali ini, para peserta dibawa meneroka keindahan bumi Sabah meliputi sungai, hutan dan laut.

Berbeza dengan program sama sebelum ini, Dura-Mission 2012 lebih santai. Tidak banyak memandu seperti dahulu. Malah, laluannya juga lebih terarah kepada lebuh raya. Bukannya off-road yang memerlukan peserta berpeluh dahi mengharung jalan berlumpur atau titi kecil. Biarpun begitu, laluan yang perlu ditempuh tetap boleh dijadikan ukuran mengenai sifat tahan lasak, jimat minyak dan selesanya trak pikap Isuzu D-Max.

Konvoi melibatkan 13 buah Isuzu D-Max. Dua automatik dan bakinya bertransmisi manual dengan campuran varian 2.5 serta 3.0 liter. Sementara tiga buah jentera yang bertindak selaku ketua konvoi, dipandu oleh krew kamera dan sweeper ialah D-Max yang telah diubah suai serta dipasang dengan pelbagai aksesori. Diberi nama Monster, rupa D-Max itu kira ganaslah juga.

Dalam tempoh enam hari, perjalanan sejauh hampir 620 kilometer (km) dimulakan di Sandakan sebelum berakhir di Tawau. Pada hari kedua, konvoi bergerak ke Sukau. Dalam perjalanan, kami singgah ke Santuari Orang Utan di Sepilok.

Lahar Lumpur Lipad

Selepas puas melihat aksi orang utan diberi makan dan menonton video mengenai primat itu, rombongan memandu selama empat jam menuju ke jeti untuk menginap di Proboscis Logde di tepi Sungai Kinabatangan.

Memang ramai yang ternanti-nantikan laluan lebih mencabar. Penantian itu berakhir apabila kami perlu menempuh jalan ladang kelapa sawit menuju ke Tabin Wildlife Resort (TWR) di Lahad Datu. Jalan tanah merah berdebu dan penuh lubang itu dapat diharung tanpa sebarang masalah oleh semua D-Max standard.

Terletak kira-kira 50km dari jalan besar, TWR merupakan hutan simpan hidupan liar terbesar di Malaysia dengan kawasan seluas 123,000 hektar. Resort yang terletak di tengah-tengah hutan hujan itu memang mendamaikan.

Tidak akan membosankan setiap pengunjungnya, TWR menawarkan pelbagai aktiviti menarik. Selain boleh berendam dan merasai kesejukan air sungai yang mengalir tidak jauh dari bilik, anda juga mesti pergi ke Lahar Lumpur Lipad atau Lipad Mud Volcano.

Tetapi, sebelum sampai ke sana, anda perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh 2.2km. Kemudian, semua harus menapak laluan berlumpur sejauh 700 meter untuk sampai ke Lahar Lumpur Lipad.

Dari atas menara pemantau, Lahar Lumpur Lipad hanyalah satu kawasan lapang berwarna kelabu. Tidak seperti gunung berapi lain, Lahar Lumpur Lipad hanya mengeluarkan lumpur kelabu yang kaya dengan mineral dan garam.


KONVOI Dura-Mission 2012 yang melibatkan 13 buah trak pikap Isuzu D-Max kali ini lebih terarah kepada pemanduan di atas jalan biasa.


Kalau hendak tahu, itulah rawatan spa semula jadi. Struktur lumpur itu licin, pekat dan menyejukkan sebaik sahaja disapu ke kulit muka atau tangan. “Simpan dalam botol, tidak payah beli SKII lagi,” seloroh seorang kawan yang mukanya sudah bertukar kelabu dilumur lumpur gunung berapi tersebut.

Selepas makan malam, kami dibawa untuk aktiviti Night Safari. Oleh sebab penat, saya memilih untuk menghabiskan masa di dalam bilik sahaja. Mujur juga kerana tidak sampai separuh jalan, hujan turun dengan lebatnya.

Hujan yang turun membuatkan laluan keluar dari TWR pada keesokan harinya menjadi lebih menarik. Sempatlah kami semua melepaskan gian melayan jalan berlumpur dengan D-Max walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana.

Setelah memandu selama lebih tiga jam, kami tiba di jeti Semporna. Dari sana, kami menaiki bot selama 45 minit untuk sampai ke Pulau Mabul. Menjadi salah satu lokasi terkenal buat golongan penyelam, Pulau Mabul terletak tidak jauh dengan Pulau Sipadan.

Memandangkan ramai antara kami tiada lesen menyelam, Isuzu Malaysia memberi pilihan sama ada hendak mengikuti aktiviti snorkeling atau kursus asas menyelam (Discovery Scuba Diving, DSD).

Sebelum kembali ke tanah besar pada keesokan harinya, waktu senggang pada waktu pagi dimanfaatkan dengan berjalan-jalan di sekitar kampung di Pulau Mabul. Dihuni oleh hampir 2,000 orang yang kebanyakannya imigran dari Filipina, masyarakat Bajau Laut itu hidup dalam keadaan serba ringkas.

Walaupun Dura-Mission 2012 lebih kepada bercuti, misi Isuzu Malaysia untuk menyerlahkan kemampuan D-Max saya fikir berjaya, sekurang-kurangnya dalam kalangan peserta.

Sebabnya, seorang kawan yang pada mulanya sibuk hendak membeli Suzuki Vitara dua pintu terpakai sudah bertukar fikiran. Mahu beli D-Max pula katanya. Teori saya mudah sahaja, barang baik tidak perlu cakap banyak-banyak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: