Peneraju rangkaian restoran keluarga halal, The Chicken Rice Shop (TCRS) menyasarkan peningkatan 20 peratus jualan sempena pelancaran menu baru ayam muhibah dalam tempoh dua bulan dari sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Kah Lin berkata, menu baru itu telah dijual kepada pengguna sebelum pelancaran dan mendapat sambutan menggalakkan.
“Menu ini akan berada di pasaran selama dua bulan sebelum menu lain diperkenalkan. Sejajar pelancaran menu baru, TCRS melabur RM1 juta bagi pengubahsuaian kedai di pusat membeli belah Sunway Piramid,” katanya, selepas melancarkan menu ayam muhibah di Subang Jaya, semalam.
Menurutnya sebagai langkah pengembangan, TCRS bakal membuka lapan cawangan baru di seluruh negara tahun ini.
TCRS kini beroperasi di 58 cawangan seluruh negara.
Katanya, bagi tujuan pembukaan cawangan baru, TCRS melabur RM1 juta bagi setiap cawangan untuk kerja-kerja pengubahsuaian yang akan dijalankan sepanjang tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Kah lin berkata, TCRS juga menyasarkan pertumbuhan jualan 15 peratus bagi semua menu yang diperkenalkan tahun ini.
“Bagi peringkat permulaan, kerja pengubahsuaian itu akan dilakukan di pusat membeli-belah Alamanda, Mid Valley dan Pulau Pinang, kemudian diikuti bandar-bandar utama dalam negara,” katanya.
Bagi meluaskan rangkaian di luar negara, Kah lin berkata, TCRS akan membuka cawangan ke lima di Filipina dalam beberapa bulan lagi, dan turut berhasrat meneroka pasaran Indonesia tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: