LANCAR...Rohizam menunjukkan laman web Virtual Travel Fair 2012.
CREATIVE Advances Technology (CAT) Sdn Bhd, yang mewujudkan Standard Online Tourism Architecture (SOTA) sebagai platform memperkenalkan Pameran Pelancongan Maya (VTF), yakin dapat menjana transaksi dalam talian bernilai RM2 juta sempena pamerannya yang akan berlangsung selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rohizam Md Yusoff berkata, pameran pelancongan ini menyaksikan penyertaan daripada 130 ejen pelancongan dan 200 hotel.
Katanya, VTF 2012 adalah pameran kali ketiga dianjurkan pihaknya dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah tahun lalu berjaya mencatatkan 32,000 pengunjung dalam talian.
“Tahun ini, kami menyasarkan 100,000 pengunjung menyertai VTF dan paling penting, ia bukan saja menerima penyertaan daripada pelanggan domestik, malah luar negara.
“Selain itu, objektif utama kami untuk membantu penyedia perkhidmatan pelancongan memanfaatkan musim belian perjalanan dengan memberikan pendedahan pakej yang luas,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya yakin transaksi dalam talian akan meningkat sekali ganda tahun ini serta memberi nilai tambah kepada mereka yang merancang melancong ke destinasi menarik sama ada domestik atau antarabangsa.
“Bagi pengguna perjalanan, kami harap VTF akan memberikan pilihan pembelian yang lebih mudah dan beraneka pakej perjalanan selain beroperasi 24 jam kerana ia bukan saja menekankan transaksi melalui online tetapi kami akan memastikan komunikasi secara lisan juga dilaksanakan,” katanya.
“Konsumer juga tidak perlu risau kerana ejen pelancongan yang menyertai VTF adalah yang diiktiraf lesennya daripada kementerian dan mempunyai reputasi baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: