MASIH tersemat dalam ingatan pemain bola sepak negara ini jam tangan pertama yang dibelinya lapan tahun lalu menggunakan elaunnya sebagai pemain bola sepak Kedah.
Terpegun dengan reka bentuk jam tangan jenama Swatch berwarna hitam yang ringkas itu, penyerang muda pasukan Negeri Sembilan itu, Ahmad Shakir Md. Ali terus mendapatkannya dan masih menyimpannya sehingga sekarang.
Sehingga kini, dia memiliki hampir 20 utas jam tangan pelbagai jenama dan gaya demi memenuhi minatnya itu dari jenama yang sesuai dengan gaya seorang ahli sukan iaitu Adidas hingga jenama jam tangan mewah seperti Longines.
”Tidak rugi berbelanja besar untuk memiliki jam tangan mewah kerana ada sesetengah jenama jam tangan yang semakin lama semakin mahal harganya, sama seperti menyimpan emas.
“Apa yang paling menarik minat saya tentang jam tangan ialah teknologi serta kerja halus yang dihasilkan bagi setiap jam tangan selain daripada tugasnya yang melengkapkan gaya seseorang.
“Bagi gaya aktiviti santai, jam tangan bertali kulit atau digital ini sesuai kerana ia menampakkan imej orang muda yang aktif.
“Jika saya perlu menghadiri majlis formal pula, saya akan menggayakan jam tangan bertali keluli seperti jam tangan Bvlgari ini,” katanya yang baru-baru ini menyelamatkan maruah Malaysia apabila dengan menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan persahabatan dengan Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila.
Shakir yang akan menyertai pasukan negara dalam perlawanan kelayakan Olimpik menentang Syria 14 Mac ini berkata, sikapnya sebagai seorang atlet yang mengutamakan disiplin terutamanya dari segi masa juga membuatkan dia menyukai jam tangan.
Jam tangan yang paling digemari anak keempat daripada lima beradik ini merupakan Casio Protrek Triple Sensor kerana fungsinya yang pelbagai iaitu mempunyai kompas digital, sensor mengukur ketinggian, termometer serta kalis air, sesuai untuk aktiviti lasak.
Selain jam tangan, anak muda ini turut gemar mengumpul dan membaca majalah-majalah permotoran yang kini berjumlah berpuluh-puluh naskhah seperti Auto Salon, Bike Trader, WTR, Traffic dan Bikerz kerana minatnya terhadap kereta dan motosikal.
Menyimpan angan-angan memiliki kereta sport Honda FD2 Type R, cerita Shakir, minatnya dalam bidang permotoran bercambah kerana sering mengikut abang sulungnya mengubah suai kereta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: