Tuesday, March 6, 2012

Seniman usul tiga cadangan


ZED ZAIDI menyerahkan memorandum tiga usul yang dicadangkan Seniman kepada Maglin Dennis (tengah) pada majlis perasmian Festival Barisan Nasional Youth Music 2011 di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Ahad lalu.


AHAD lalu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah mengemukakan tiga usul kepada pihak kerajaan dalam memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi memberitahu, tiga usul yang dikemukakan kepada pihak kerajaan itu ialah meminta kuota khas di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), perkhidmatan insurans perlindungan diri dan juga kebenaran menggunakan cermin gelap kereta untuk semua ahli Seniman.

Cadangan yang dikemukakan sewaktu Festival Barisan Nasional Youth Music 2011 di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya itu dirasakan bertepatan demi menjaga kebajikan individu yang tidak kurang hebat menyumbangkan bakti kepada negara.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Zed Zaidi dan Maglin sewaktu ditemui di majlis berkenaan.

Kosmo!: Boleh terangkan kenapa tiga usul ini dikemukakan pihak Seniman kepada kerajaan?

ZED ZAIDI: Usul pertama dikemukakan untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagi usul pertama ini, Seniman memperjuangkan permohonan rumah PPRT untuk kesemua 5,000 ahli Seniman yang terdiri daripada artis veteran, peringkat pertengahan umur dan golongan muda.

Bagi usul kedua pula dikemukakan buat tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di bawah Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim iaitu perkhidmatan insurans perlindungan kemalangan diri artis.

Sementara usul ketiga pula, Seniman memohon pihak Kementerian Dalam Negeri di bawah Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya membenarkan ahli Seniman memasang cermin gelap pada kenderaan masing-masing.

Apa relevannya usul-usul ini dikemukakan kepada pihak kerajaan?

Memorandum ini kami serahkan kerana ingin pihak kerajaan prihatin dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan artis. Permohonan ini bertujuan untuk membela nasib ahli-ahli Seniman yang masih menyewa rumah dan tidak mempunyai rumah sendiri sehingga kini. Kalau boleh tentang rumah PPRT itu, kami mahu kerajaan bagi kuota khas kepada golongan artis supaya mudah memiliki rumah PPRT. Memang mereka boleh memohon ikut saluran biasa, tetapi prosesnya rumit.


ZED ZAIDI (tengah) bangkit membawa perjuangan Seniman bagi memastikan kebajikan dan masa depan 5,000 ahlinya terbela.


Kalau hendak buat pinjaman bank lagi susah, sebab tiada slip bayaran gaji. Mungkin ramai yang menganggap golongan artis mewah dan tidak ada masalah untuk beli rumah sendiri. Namun hakikatnya, 80 peratus artis Seniman masih tidak mempunyai rumah sendiri.

Bagi insurans pula, jika anggota Rela (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia) seramai tiga juta orang boleh mendapat insurans sebanyak RM20,000, mungkin Seniman yang memiliki ahli seramai 5,000 orang boleh mendapat RM100,000 premium insurans kesihatan dengan khairat kematian sebanyak RM5,000 setiap seorang daripada kerajaan.

Relevannya usul ketiga dikemukakan pula, adalah atas faktor keselamatan golongan artis itu sendiri khususnya artis-artis wanita yang balik lewat malam daripada tugasan.

Bagaimana progres buat masa sekarang dan adakah perkara ini mendapat persetujuan semua ahli Seniman?

Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam lagi dan saya rasa tidak salah untuk kami menjaga kebajikan dan kepentingan rakan-rakan dalam industri ini. Syukur Alhamdulillah memorandum ini disokong oleh semua 5,000 ahli Seniman.

Adakah syarat-syarat tertentu untuk seseorang artis itu mendapat keistimewaan yang dikemukakan ini?

Jika tiga usul ini berjaya, artis tidak akan sewenang-wenangnya memperolehnya. Seniman yang akan mengawalnya. Cuma mereka perlu berdaftar di bawah Seniman dan secara automatik mereka boleh menerimanya. Seniman juga akan memilih artis yang benar-benar layak menerimanya.

Perlindungan insurans ini meliputi apa?

Kemalangan yang melibatkan kecacatan kekal mahupun sementara, khairat kematian dan bayaran yang sepatutnya diperoleh seseorang artis apabila membuat persembahan.

Apakah harapan anda berhubung permohonan ini?

Saya harap sangat pihak kerajaan dapat meluluskan ketiga-tiga permintaan ini. Artis merupakan tanggungjawab sosial yang banyak memberi sumbangan kepada kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: