Sunday, March 18, 2012

Sajian Thai pembuka selera


CHEF IRIZUAN AHMAD


MASAKAN Thai cukup terkenal di Asia kerana keseimbangan perasa yang terdapat di dalam setiap hidangannya.

Antara hidangan yang terkenal seperti tom yam kung pastinya membuka selera makan tengah hari ataupun malam setiap individu.

Setiap hidangan tom yam yang pelbagai jenis itu disajikan dengan rasa pedas, masam, manis dan masin menjadikan hidangan itu cukup menyelerakan.

Maka tidak hairanlah mengapa masakan Thai yang dikatakan berasal dari empat rantau yang berbeza mempunyai pengaruh yang tersendiri.

Menurut Chef Irizuan Ahmad dari Hotel Vistana Kuala Lumpur, masakan Thai merupakan antara sajian kegemaran pelanggan- pelanggannya, selain masakan Melayu.

“Masakan Thai digemari ramai kerana rasanya unik dan aromanya segar dengan bahan-bahan campuran pelbagai jenis melengkapi kehendak ramai,” katanya.

Katanya, sajian itu biasanya dimakan bersama nasi dan hidangan lain yang saling melengkapi di antara satu sama lain serta boleh dikongsi seisi keluarga.

Menunya dihidangkan pada satu masa yang sama. Misalnya sajian yang terdiri daripada nasi goreng nanas, kari ayam hijau, som tam dan cendol nangka membuatkan mereka yang melihatnya berasa terliur.

“Masakan Thai sangat terkenal dengan penggunaan herba kering seperti daun ketumbar, lengkuas, pes cili Thai dan daun pudina.

“Sesetengah perisa lain dalam masakan Thai diperoleh daripada halia, lengkuas, kunyit, bawang putih, kacang soya, bawang merah dan lada hitam,” katanya.

Pes cili Thai sedapkan hidangan

Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana pes cili Thai dihasilkan, ia tidak sesukar seperti disangka dan amat mudah didapati di pasaran.

Namun bagi Chef Irizuan, pes buatan sendiri pastinya lebih enak berbanding dengan pes segera.

“Pes cili buatan sendiri pasti lebih segar dan aromanya lebih kuat. Selain itu, kita boleh memeram pes tersebut sesuai dengan kehendak sesuatu masakan.

“Semua jenis cili boleh menghasilkan pes cili Thai. Daripada cili segar sehinggalah cili kering yang dikisar bersama bawang merah, bawang putih, daun limau, serai, lengkuas, daun pandan, garam, air limau kasturi, daun ketumbar, lada hitam dan daun pudina bakal menyedapkan lagi masakan anda,”

katanya.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin menikmati masakan tulen Thailand, apa kata singgah ke Vistana Coffee House yang sedang mempromosi makanan dari Negara Gajah Putih itu selama dua bulan sehingga 21 April ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: