Asmirandah Zantman

Rupa paras menawan yang dimiliki pelakon, Asmirandah Zantman, ternyata memberi kelebihan buatnya bertahan dalam industri hiburan di Indonesia dan namanya kini tidak lagi asing buat peminat setia drama sinetron.

Gadis kelahiran Jakarta ini memulakan kariernya dalam industri hiburan setelah diberi tawaran lakonan menerusi sinetron, Kawin Gantung, sekali gus memberi pengalaman bermakna buatnya.
Bakat dan kebolehan yang ada membuatkan aktres muda ini dikagumi pengarah dan penerbit di Indonesia yang tidak putus-putus memberi tawaran lakonan kepadanya.
Asmirandah berkata, dia kini menyedari dirinya amat serasi dengan dunia lakonan dan semakin mencintai karier itu.
“Saya gembira menceburi bidang ini dan saya juga suka apabila penonton beri respons yang positif dalam setiap sinetron lakonan saya.
“Inikah Rasanya dan Cinta SMU2 adalah antara sinetron yang berjaya mengangkat nama saya sebagai seorang pelakon dan saya amat berpuas hati kerana penonton dapat menerima kehadiran saya dalam industri sejak mula hingga kini,” katanya.
Selain menceburi bidang lakonan, pelakon yang senang dipanggil Andah ini juga aktif dalam bidang peragaan dengan membintangi beberapa produk iklan komersial dan video klip penyanyi tempatan.

Minat puisi
Sama seperti pemain sinetron lain seperti Yasmine Wilblood dan Nikita Willy, Asmirandah tidak terkecuali mencuba nasib dalam bidang nyanyian.
Menurut gadis yang berusia 23 tahun ini, semuanya bermula dengan minat yang mendalam terhadap penulisan puisi.
“Pada waktu lapang, saya suka menghabiskan masa menulis puisi kerana saya amat cintakan bahasa Indonesia.
"Sejak sekolah saya gemar menulis dan punya koleksi puisi sendiri," katanya.
Minat itu mendorong gadis manis ini mencuba nasib dalam nyanyian dan tampil dengan single pertama, Ketulusan Cinta.
“Lagu ini adalah hasil ciptaan saya sendiri. Saya gembira kerana peminat dapat menerima saya sebagai penyanyi dan jika diberi peluang saya mahu tampil dengan album penuh.
"Saya mahu lebih serius dalam bidang ini," katanya.
Bercerita mengenai kehadiran muka-muka baru, kata Asmirandah, ia adalah persaingan sihat bagi setiap selebriti di seluruh dunia. Katanya, tanpa muka baru, industri sukar berkembang.
"Saya menerima baik kehadiran mereka. Bagus sekali kerana kami boleh berkongsi pandangan selain mewarnai lagi industri hiburan negara," katanya.

Tidak serik bercinta
Lumrah bagi seorang manusia biasa, Asmirandah juga tidak terlepas dari dugaan hidup yang kini menjadi pengajaran yang bermakna buat dirinya.
Pelakon berdarah kacukan Belanda ini pernah menjalinkan hubungan percintaan bersama seorang pelakon, Dude Herlino. Bagaimanapun dikatakan terkandas di tengah jalan pada akhir tahun lalu.
Menurutnya, tiada keserasian adalah salah satu punca terputusnya hubungan percintaan mereka dan merasakan perlu fokus pada karier masing-masing.
“Kami putus secara baik dan sehingga kini masih berkawan. Perasaan sayang masih lagi ada, tetapi perbezaan yang ada membatasi kami untuk meneruskan hubungan ini.
“Apa yang terjadi biarlah berlalu dan saya akan jadikannya sebagai pengajaran dalam hidup,” katanya dan mengakui mahu menamatkan zaman bujangnya setelah mencecah usia 25 tahun.