SETIU – Berjaya Air Sdn. Bhd. menyambung semula perkhidmatan udara ke Pulau Redang kepada lima penerbangan seminggu menerusi Lapangan Terbang Subang, Selangor dan Lapangan Terbang Selatar serta Changi di Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, syarikat berkenaan telah menyatakan komitmen untuk meneruskan penerbangan ke pulau peranginan itu setelah hampir empat bulan dihentikan ekoran musim tengkujuh.
Menurutnya, kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa ke Pulau Redang melalui perkhidmatan udara mendapat sambutan hangat khususnya dari Singapura yang mengatasi jumlah penerbangan ke Pulau Langkawi, Pangkor dan Tioman.
“Kerajaan negeri sentiasa memperhebatkan promosi pulau-pulau peranginan di Terengganu dan hasil yang kita lihat, penerbangan ke Pulau Redang paling kerap berbanding Langkawi, Pangkor dan Tioman.
“Daripada 3.16 juta orang pelancong yang direkodkan melawat Terengganu tahun lalu, seramai 188,000 orang telah mengunjungi Pulau Redang bagi tempoh Mac hingga Oktober,” katanya selepas majlis sambutan penerbangan pertama Berjaya Air dari Singapura ke Pulau Redang di Lapangan Terbang Pulau Redang (LTPR) dekat sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: