Penangan Raja Gelek, Datuk M Kilau bangga jadi penghibur

Senyumlah, Senyumlah, Ahai Cik Mek Molek... Masih ingatkah bait-bait lagu ini? Umum mengetahui, ia adalah dendangan raja gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau. Sebut sahaja nama itu, pasti ramai yang dapat bayangkan gelekan dan tarian pemilik nama sebenar, Muhammad Daud Kilau, ini.

Yang pasti, sehingga kini, tiada siapa yang mampu menandingi dan menggantikan posisinya. Walaupun usianya sudah hampir mencecah 74 tahun, namun tawaran persembahan masih mencurah-curah. Tidak menyangka rezekinya masih ada, beliau melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi.

Jelasnya, tiada apa yang menggembirakannya selain terus berada di sisi peminat untuk menggalas tugas sebagai penghibur masyarakat.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki ini. Walaupun usia saya sudah melebihi separuh abad, saya masih diberikan kesihatan yang baik. Jadual saya juga sentiasa padat dengan undangan.

“Dari segi kesihatan, saya memang tidak pernah mengamalkan petua dan pantang larang. Saya ada penyakit, kencing manis tapi saya tidak pernah berpantang. Saya hanya makan ubat mengikut arahan doktor,” katanya yang baru sahaja mengadakan persembahan di Singapura.

Menurut M Daud, beliau sangat teruja mengadakan persembahan di serata tempat kerana setiap persembahannya sentiasa diserikan dengan tepukan dan sorakan peminat yang hadir.

“Ia adalah momen yang paling indah dalam hidup saya kerana bagi penghibur, tiada apa yang membahagiakan selain sokongan peminat mereka,” katanya yang tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia seni ini.


Juara Bintang Radio 1968

Dilahirkan dalam keluarga besar, anak bongsu daripada 10 beradik ini, mula menanam angan-angan untuk bergelar penghibur sejak kecil lagi. Katanya, kesempitan hidup ketika itu membuatkan dirinya tidak lagi memandang ke belakang untuk mencapai cita-cita sebagai orang seni. Ditambah pula dengan kebolehan menyanyi menguatkan lagi impiannya.

“Kebetulan, bapa saudara saya mempunyai peti nyanyi (piring hitam). Jadi, saya selalu dengar lagu dari situ. Ketika di sekolah, apabila tamat waktu belajar, guru akan memberi peluang kepada murid untuk mengasah bakat dalam nyanyian.

“Satu hari, saya dengar iklan menerusi radio untuk mencari Bintang Radio. Saya pergi uji bakat beberapa kali, tetapi tidak berjaya. Sehinggalah pada 1968, saya dipilih sebagai juara Bintang Radio menerusi lagu, Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis,” katanya yang mula diberi peluang menampilkan album pertama berjudul, Anak Derhaka, pada 1969.

Menurutnya, Datuk S M Salim insan yang banyak beri sokongan dan galakan kepadanya.

“Masa uji bakat Bintang Radio, beliau jugalah yang bawa saya ke sana. Saya mula kenal beliau sejak berhijrah ke ibu kota dan menyewa rumah berhampiran dengannya.

“Saya banyak belajar daripadanya dari segi nyanyian. Walaupun kami mempertaruhkan konsep berbeza, namun banyak ilmu darinya yang saya guna pakai,” katanya yang telah menerbitkan 29 album memuatkan hampir 300 lagu.

Pada 1985, beliau menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori Nyanyian Asli dan pada 1991, beliau dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak yang membawa gelaran Datuk.


Peristiwa pahit sukar dilupa

Bercerita mengenai peristiwa pahit, M Daud berkata, selain ditipu penganjur persembahan, ada beberapa peristiwa sedih sukar dilupakannya. Pernah dituduh terlibat dalam kes liwat seorang remaja lelaki pada 2007, beliau kini semakin berhati-hati agar perkara sama tidak berulang. Katanya, walaupun kes itu ditutup kerana tiada bukti pendakwaan, peristiwa itu masih kekal di ingatannya.

“Satu peristiwa lagi yang tidak dapat saya lupakan ialah kehilangan isteri pada awal 70-an. Kehilangannya memberi tamparan hebat kepada saya kerana di saat nama saya mula dikenali, saya kehilangan penguat semangat saya,” katanya.