KUALA LUMPUR: Kumpulan hip hop nasyid dari Amerika Syarikat (AS), Native Deen berkata perkara terbaik yang mereka kecapi sejak 12 tahun bergelar artis profesional adalah peluang untuk membimbing golongan remaja bermasalah menerusi muzik yang ditampilkan.
Menurut anggota kumpulannya Naeem Muhammad, peluang bertemu dengan pelbagai belia Muslim di seluruh dunia membolehkan mereka mendekati dan memberikan motivasi kepada golongan berkenaan.
“Kami berpendapat perkara terbaik mengenai perjuangan Nattive Deen sejak 12 tahun yang lalu adalah peluang dan ruang yang diberikan oleh Allah untuk mendekati golongan muda menerusi muzik hip hop kami.
“Muzik kami bukan sahaja menghiburkan, malah ia memberi motivasi dan membimbing belia yang bermasalah kepada jalan penyelesaian dan kebaikan,” katanya.
Kumpulan ini ditemui selepas persembahan makan malam anjuran Saba Media Islamic yang bertempat di Dewan Perdana Felda, di sini, baru-baru ini.
Selain Naeem, kumpulan itu turut dianggotai Abdul-Malik Ahmad dan Joshua Salaam.
Tambahnya, sebagai karyawan seni Muslim yang berpangkalan di bumi AS, di mana majoriti masyarakat adalah beragama Kristian, mereka berbangga dengan perkembangan dan penerimaan muzik nasyid di sana.
“Muzik nasyid berkembang dan diterima dengan baik di AS kini. Jika hendak dibandingkan, memanglah nasyid dan masyarakat Muslim di sana tidak sebesar mana tetapi melalui muzik moden dan dekat dengan selera muzik semasa ini, kami dapat mendekati golongan muda.
“Dengan persaingan sengit pelbagai genre muzik hari ini, nasyid juga perlu berkembang dan diperluaskan dengan stail dan idea segar tetapi bersesuaian.
“Alhamdulillah, kami dapat memikat hati peminat bukan Muslim juga. Kami dapat menyatukan Muslim dan bukan Muslim menerusi muzik,” katanya.
Pada majlis makan malam itu, kumpulan yang julung kali berkunjung ke Malaysia ini mengadakan selama satu jam setengah dengan menyampaikan rangkaian lagu popular mereka termasuklah Stand Alone, Still Strong, For The Prophets, Small Deeds dan Muslim.
Kedatangan mereka ke sini adalah bersempena sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung pada Februari lalu.
Mereka memiliki tiga buah album iaitu Deen You Know (2005), Not Afraid To Be Alone (2007) dan The Remedy (2011).
Persembahan Native Deen itu dianjurkan oleh Saba Islamic Media Sdn Bhd dan IIS Foundation dengan kerjasama Nizal.com Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: