Friday, March 16, 2012

Najwa kena ikut cakap mama

CEMERLANG...antara artis baru Malaysia paling berjaya.
CEMERLANG...antara artis baru Malaysia paling berjaya.

PERTAMA kali bersua dengannya tahun lalu, dia masih belum popular seperti hari ini. Bagaikan satu fenomena YouTube, nama Imratul Najwa Abdul Latif atau Najwa Latif semakin kukuh sekalipun dia masih terlalu remaja.

Lihat saja pencapaiannya, baru-baru ini dalam Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26). Walaupun tidak meraih sebarang trofi, namun persembahannya menerusi lagu Cinta Muka Buku berjaya mencatatkan ‘rating’ paling tinggi iaitu sebanyak 6.5 juta penonton yang mengikuti siaran langsung di kaca TV.

  • Foto

    REMAJA...perwatakan Najwa sangat comel.

  • Foto

Begitu hebat sekali pukulan gadis berusia 16 tahun ini walhal bakatnya hanya dikesan selepas videonya di YouTube mendapat reaksi hebat.

Tidak dinafikan nyanyiannya memang seiring dengan ‘trend’ masa kini yang lebih menginginkan lagu bercorak santai, malah bakatnya mencipta lagu pada usia sebegitu muda juga menambat hati komposer handalan, Datuk M Nasir.


Biarpun hanya bermodalkan dua lagu popularnya, Cinta Muka Buku (CMB) dan Carta Hati, tawaran demi tawaran mula datang menyapa. Popularitinya yang mendadak juga menjadi faktor lebih 200,000 peminat menjadi pengikutnya di laman twitter.

Video muzik CMB di YouTube kini hampir mencecah enam juta tontonan.

Sekelip mata populariti yang pantas ini sangat ‘membahayakan’ jika tempiasnya terkena segelintir artis baru. Namun itu tidak terjadi pada Najwa, malah ketika bertemu dengannya, baru-baru ini, dia masih seperti yang dulu. Nada suara, gerak tubuh serta tutur sopan Najwa tetap serupa.

Biarpun masih letih selepas menjayakan banyak sekali persembahan pentas, Najwa tetap meluangkan masa ke studio Balai Berita pada petang itu dan membawa perkhabaran gembira.

Teristimewa buat peminat, kini album penuhnya yang memuatkan beberapa lagu sudah dipasarkan.

Berbicara mengenainya, Najwa berkata, album berkenaan turut menampilkan single baru, Kosong selepas dua lagu terdahulu.

“Semua lagu dalam album ini hasil ciptaan saya dan kakak, Ika Latif dan istimewanya single Kosong agak berbeza sedikit dengan lagu sebelum ini. Lagu ini lebih berciri kedewasaan dan liriknya juga menunjukkan sudut matang saya.

“Selain itu, saya juga ada bekerjasama berduet dengan artis dari Singapura, Sleeq dan seorang penyanyi YouTube yang juga sangat popular pada masa kini, Syam Kamarul iaitu lagu Sahabat. Idea untuk berduet ini sebenarnya tercetus kerana saya sangat meminati bakat mereka.

“Akibat teringin sangat membuat kolaborasi dengan mereka, saya pun mengusulkan cadangan itu kepada syarikat rakaman NAR dan mereka bersetuju. Tidak ketinggalan, Sleeq juga turut menyumbangkan lirik untuk lagu terbabit.

“Walaupun baru bertemu dengan mereka, keserasian antara kami cepat terjalin mungkin juga kerana faktor umur yang lebih kurang sama. Pengalaman bekerja dengan mereka memang seronok dan lancar sekali,” ujarnya.

Memuatkan lagu termasuk CMB, Carta Hati, Kosong, Sahabat dan I Love You, Najwa juga baru selesai merakamkan sebuah single duet bersama Sleeq, Untuk Dia ciptaan Alif Abdullah. Berentak ‘catchy’ dengan lirik yang ringkas, ia adalah satu lagi pertaruhan Najwa sebagai mewarnakan lagi skop muziknya.

Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan dihadapinya pada tahun ini, Najwa sudah ada perancangan untuk memberikan laluan kepada dirinya menumpukan fokus terhadap agenda terpenting itu.

Menjadi antara artis yang bakal beraksi di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) pada 8 April nanti, Najwa memutuskan malam itu sebagai persembahan terakhirnya.

“Selesai saja acara ABPBH2011 nanti, saya tidak akan menerima mana-mana tawaran persembahan demi memberikan tumpuan kepada SPM. Sebenarnya, mama sudah tetapkan dan menyuruh saya berhenti pada hujung Mac ini namun kerana ABPBH2011 adalah acara terbesar, mama akhirnya memberi kebenaran.

“Untuk persediaan SPM nanti, saya akan mula menghadiri kelas tuisyen selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat memandangkan saya agak ketinggalan banyak perkara. Tambahan lagi, subjek aliran sains tulen yang saya ambil sememangnya sangat mencabar dan perlu banyak buat latihan,” katanya.

Tidak pernah menyangka hidupnya akan berubah pada usia seawal ini, Najwa yang dicalonkan dalam dua kategori iaitu Artis Baru Popular dan Artis Wanita Popular ABPBH2011 ini mengakui dia tidak menaruh harapan tinggi untuk menang. Baginya, tercalon dalam Top 5 sudah memadai dan satu penghormatan kepadanya.

Dibariskan dengan artis yang jauh lebih senior seperti Stacy dan Yuna, dia amat bersyukur kerana sokongan peminat tidak pernah putus.

Dalam pada itu, Najwa bersama kakaknya sedang dalam proses mencipta karya baru untuk album kedua pula. Masih lagi berkonsepkan lagu ‘santai’, dia mengharapkan lagu terbarunya itu bakal mengulangi kejayaan CMB dan Carta Hati serta menjanjikan yang terbaik buat peminatnya.



TRIVIA:

  • Lagu yang paling menggambarkan diri anda sekarang...Secrets (One Republic)

  • Minat muzik K-Pop?...tidak

  • Bila kali terakhir menangis dan kenapa?...tiga hari lepas sebab rindukan ibu.

  • Jenis buku yang disukai...penyiasatan.

  • Hadiah paling istimewa dalam hidup...penyokong saya.

  • Tempat percutian impian...Venice, Itali.

  • Rancangan TV kegemaran...Raja Lawak.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: