|
NASIB anak-anak yatim dan miskin di negara ini seharusnya membuka mata rakyat Malaysia keseluruhannya. Mereka memerlukan bantuan dan sokongan masyarakat demi menghadapi rona-rona kehidupan yang serba mencabar.
Mereka juga perlu dibantu dan dibimbing agar berpeluang mencapai kejayaan dalam hidup seperti kanak-kanak dan remaja lain yang masih mempunyai ibu bapa serta hidup dalam keluarga berkemampuan.
Atas kesedaran itu, rangkaian syarikat runcit barangan keperluan diri, kesihatan dan kecantikan, Watsons, terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan menyumbangkan sejumlah RM16,000 kepada dua buah rumah kebajikan iaitu Rumah Keluarga Kami di Kajang dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Kristian di Kota Kemuning, Selangor.
Duta CSR Watsons Malaysia, Low Siew Hui berkata, jumlah bantuan itu berjaya dikumpulkan melalui sumbangan para pemegang keahlian Watsons VIP Card, hasil jualan kalendar dan acara lelongan amal selebriti yang dilaksanakan oleh kelab peminat, Watsons Malaysia Facebook sebelum ini.
“Ia merupakan bukti keperihatinan kami dan masyarakat, khususnya pelanggan-pelanggan setia Watsons untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik seperti anak-anak yatim.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu dan meringankan beban kewangan demi memastikan kelancaran operasi dan keselesaan penghuni-penghuninya,” katanya.
Penyerahan sumbangan itu dilakukan dalam dua majlis yang berbeza. Sumbangan untuk Rumah Keluarga Kami diwakili oleh pengetuanya, John Santana, manakala Pertubuhan Rumah Anak Yatim Kristian diwakili oleh pengetuanya, Kim Jeong Min.
Tambah Siew Hui, kedua-dua rumah kebajikan yang juga merupakan ‘anak angkat’ Watsons itu bakal menerima bantuan berterusan dan tidak terhad dalam bentuk kewangan semata-mata.
“Kami telah merancang pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini.
“Antara aktiviti bermanfaat yang sudah dirangka ialah pendidikan kesihatan dan kecergasan kanak-kanak melalui senaman dan diet seimbang, bengkel pembentukan personaliti dan kesihatan oral dan sebagainya,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: