Chomell Fana berhabis demi kasut

Apabila menggemari sesuatu barang, pastinya kita akan cuba untuk mendapatkan barang tersebut. Tidak kiralah betapa susah atau payah untuk mendapatkannya, sedikit sebanyak usaha untuk mendapatkan barang itu pasti akan dilakukan walaupun mengetahui harganya tidak tercapai dek akal.

Malah, ada juga orang yang jenis fanatik dengan barang akan sedaya upaya mengumpul duit bagi mendapatkan barang yang dihajati. Agak sukar sebenarnya untuk membaca kegilaan seseorang jika kita sendiri tidak mempunyai hobi dan minat seperti itu. Kadang kala kita akan terfikir bagaimana seseorang sanggup habiskan duit yang banyak untuk kepuasan diri.

Bagi pelakon kecil molek, Chomell Fana, kepuasan dalam mendapatkan sesuatu barang yang diminati tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Tambahan pula, pemilik nama sebenar, Noorhanis Farhana Shaharuddin, ini turut mempunyai kegemaran mengumpul kasut atau sepatu.

Bayangkan dalam tempoh masa lebih kurang lima tahun, gadis berusia 26 tahun ini telah mempunyai lebih 100 pasang koleksi kasut yang terdiri daripada pelbagai jenis fesyen dan warna. Tergamam seketika tatkala melihat koleksi kasutnya itu yang disusun rapi di dalam lima rak yang sememangnya khas untuk kasut.

Malah, ada antara kasut yang masih terletak cantik di dalam kotak kasut seperti baru dibeli lagaknya. Melihat kepada koleksinya itu, gadis yang mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian ini sudah boleh membuka butik menjual kasut.

Sementelah lagi, koleksinya itu terdiri daripada pelbagai jenis kasut seperti kasut sukan, sneakers, but, kasut tumit tinggi, platform, wedges dan stiletto. Teruja bercerita mengenai kegemarannya itu, Chomell mengaku begitu obses terhadap kasut sejak dari sekolah lagi.

Menariknya mengenai kegilaan pelakon ini adalah koleksi sepatunya bukan calang-calang kerana ia mempunyai fesyen yang unik dan menarik.

“Boleh dikatakan hampir kesemua koleksi kasut saya ini dipilih kerana fesyennya yang pelik tetapi sedap mata memandang. Malah, kebanyakan kasut saya ini jarang didapati dan dipakai oleh orang lain kerana fesyen dan warnanya yang pelbagai,” katanya yang ditemui di rumah kediamannya di Bandar Sunway.

Tidak menolak anggapan kasut-kasut tersebut menyerlahkan lagi personalitinya, Chomel berkata, koleksi kasut yang dipilih menggambarkan karakter dirinya yang sedikit gila-gila dan ranggi sesuai dengan umurnya.


Selesa pakai sneakers

Jika kebanyakan gadis seusianya lebih menggemari kasut tumit tinggi, namun gadis ini berbeza kerana lebih suka untuk memakai kasut sukan ataupun sneakers. Menurutnya, tabiat memakai kasut sukan atau sneakers dipupuk sejak zaman sekolah memandangkan dia seorang yang sukakan aktiviti lasak.

Siapa sangka, gadis ini juga dahulunya merupakan seorang pemain bola sepak wanita Malaysia B dan bekas ahli silat serta olahragawati negeri Selangor.

“Memandangkan saya dulu seorang yang lasak, jadi saya lebih selesa untuk memakai kasut sukan atau sneakers. Namun, sejak bergelar artis saya perlu belajar memakai kasut tumit tinggi,” katanya yang belajar memakai kasut tumit daripada kakaknya, Rina Derina yang juga seorang jurusolek artis.

Pelantun lagu BFF ini mula mengumpul kasut tumit tinggi pada 2008. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana memilih kasut tumit tinggi di kedai.

“Pada mulanya, kakak yang akan membeli kasut tumit untuk saya kerana saya tidak tahu bagaimana untuk memilih kasut. Namun, lama kelamaan setelah diajar, saya sudah tahu cara memilih kasut tumit tinggi yang sesuai dengan pakaian yang saya pakai,” katanya.

Mengaku tidak kisah berbelanja banyak untuk membeli kasut, bagaimanapun Chomell akan memastikan kasut dipilih berpatutan dengan harga yang dibayar.

Pun begitu, kadangkala gadis ini juga turut terlepas pandang membeli kasut yang diminati, namun sehingga sekarang masih belum berkesempatan mencuba kasut tersebut.

Chomell juga tidak begitu menitikberatkan jenama kasut asalkan harganya berpatutan dan selesa dipakai.

“Pernah suatu masa ketika saya bercuti di Thailand bersama kakak dan kakak angkat saya, mereka terkejut melihat saya membawa pulang 15 kotak kasut dalam tempoh sehari sahaja. Nasib baiklah kami ke sana menaiki kereta, jadi tidaklah sukar untuk meletakkan kasut-kasut yang saya beli,” ujarnya sambil tergelak.

Selain mendapatkan kasut di pusat membeli-belah, pelakon siri Comel ini juga sanggup melayari laman web yang memaparkan kedai kasut alam maya. Namun, sikap berhati-hati masih lagi diutamakan dalam dirinya biarpun kegilaannya terhadap tabiat yang satu itu cukup menebal.

“Apabila melihat kasut yang dijual secara online, saya akan bertanya dengan rakan jika mereka ada melihat rekaan kasut seperti itu dijual di mana-mana. Malah, saya sanggup mencari kedai online yang kadangkala ada dibuka di gerai-gerai kecil seperti di Sunway Pyramid. Saya lebih senang untuk melihat sendiri kasut tersebut daripada membeli secara online,” katanya yang setakat ini mempunyai kasut termahal daripada jenama Polo dan Aldo.


Titik berat penjagaan

Biarpun memiliki ratusan kasut, namun Chomell bukanlah jenis yang suka membazir kerana dia begitu mementingkan penjagaan kasut-kasutnya. Mengaku begitu sayang dengan barang-barang yang dibeli, pemenang tempat ketiga pertandingan nyanyian PPW Idol 2007 ini akan meluangkan masa untuk mengelap tapak dan permukaan luar kasut sebaik sahaja selepas dipakai.

“Saya memang seorang yang sayang akan harta benda. Lagi pula, barang yang dibeli adalah hasil duit sendiri. Biasanya selepas pakai kasut, saya pasti akan lap tapak dan permukaan tepi kasut dengan air dan simpan semula elok-elok di dalam kotak ataupun di rak kasut,” katanya yang juga menggunakan Febreeze untuk menghilangkan bakteria dan mengelakkan kasut berbau.

Jika kasut yang dibeli rosak, Chomell juga sanggup berhabis duit bagi mencari kasut sama jenis dengan yang rosak itu. Malah, sekiranya ada dalam kalangan rakan-rakannya yang meminjam kasut kepunyaan gadis ini, dia tidak kisah memberi kebenaran asalkan ia dijaga dengan baik.

“Pernah juga rakan saya pinjam kasut dan ada sedikit kerosakan pada kasut itu, tetapi mereka ini kenal perangai saya yang begitu sayangkan barang-barang. Jadi, rakan saya ini akan pergi betulkan balik kasut yang rosak sebelum memulangkan kepada saya.

“Kebiasaannya, saya akan memeriksa dahulu kasut yang dipulangkan oleh mereka kerana saya mahu apa yang saya telah bagi pinjam keadaannya sama dengan yang dipulangkan,” ujarnya yang memakai kasut bersaiz enam atau tujuh.

Menurut Chomell lagi, dia juga kadangkala sanggup membeli kasut yang bersaiz lagi besar atau kecil daripada saiznya sendiri asalkan kasut tersebut menarik di matanya.

“Apabila kasut yang saya minat sudah habis dan tidak sama dengan saiz kaki saya, saya tidak kisah untuk membeli kasut bersaiz yang lebih besar atau kecil bagi memuatkan kasut itu dalam koleksi saya,” katanya.


Kasut penyelamat nyawa

Berkongsi cerita mengenai pengalamannya dalam memilih kasut, Chomell memberitahu dia pernah mengalami kemalangan berlanggar dengan bas pada tahun lalu. Dia yang ketika itu menunggang motosikal mengalami kecederaan teruk kerana kenderaannya terperosok di bawah bas.

“Sewaktu kemalangan, baju dan seluar saya koyak teruk, namun yang menghairankan kasut yang saya pakai ketika itu tidak langsung mengalami sebarang kerosakan mahupun calar. Alhamdulillah, saya bersyukur terselamat dalam kemalangan itu biarpun tangan dan kaki saya sedikit tercalar,” katanya.