Mak Yong dekati rakyat

DALAM misi mendekatkan seni warisan mak yong kepada masyarakat tempatan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) membawakan Eksplorasi Mak Yong Siri Jelajah Kijang Emas 2012.\

Menerusi eksplorasi itu, kumpulan mak bergaji pertama seumpamanya di dunia dibawa menjelajah ke seluruh negara bagi melestarikan warisan negara yang diiktiraf UNESCO sebagai Intagible Heritage pada 25 November 2005.

Ketua Pengarahnya, Datuk Norliza Rofli berkata, kumpulan bernaung di bawah JKKN Kelantan itu menjadi perantis dalam usaha tersebut apabila aktif mengadakan persembahan secara profesional dalam dan luar negara.

Menerusi program Siri Persembahan Jelajah Kijang Emas dan Bengkel Makyong, beberapa lokasi di negeri tertentu dipilih untuk melestarikan warisan tradisional ini agar terus terpelihara dan dihayati terutama generasi pelapis penggiat seni, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta khususnya artis tari KKJKKN.

Siri Jelajah Kijang Emas ini juga bertujuan mengiktiraf Kumpulan Mak Yong Kijang Emas terhadap bakat serta kebolehan artis dalam mempersembahkan teater tradisional di samping memartabatkan kembali kesenian tradisional dalam bentuk dan konsepnya yang asal.

Selain itu, JKKN giat menjalankan usaha pemupukan dan pemuliharaan kesenian tradisional Mak Yong supaya ia terus dilaksanakan dan diminati generasi muda tanah air.

Ia bersesuaian dengan objektif JKKN yang ingin mendekatkan kesenian tradisional Mak Yong kepada masyarakat di luar Kuala Lumpur selain khalayak seni yang tidak pernah berpeluang menonton tersebut dari dekat khususnya pelajar IPT, sekolah dan peminat teater tradisional.

Bengkel dan persembahan

Pengisian aktiviti dalam Siri Jelajah Kijang Mas ini merangkumi Bengkel Mak Yong selama tiga hari dan persembahan Mak Yong bertajuk ‘Puteri Jerijit Emas’ selama dua hari.

Bengkel ini akan mendedahkan pelajar sekolah dan IPTA/S, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan artis budaya KKJKKN kepada asas tarian Mak Yong dan struktur persembahannya.

Pada akhir bengkel, semua peserta akan berpeluang terlibat dengan persembahan mak yong bersama Kumpulan Mak Yong Kijang Emas.

Mereka mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar dan pembimbing Mak Yong iaitu Rohani Mohd Zain dan Rosnan Rahman yang juga tokoh dan pembimbing Mak Yong di JKKN Kelantan.

Siri Jelajah ini terbahagi kepada tiga zon utama merangkumi Zon Utara (Kedah dan Pulau Pinang), Zon Tengah (Selangor dan Pahang) serta Zon Selatan/Borneo (Johor dan Sabah).

Bagi Zon Utara, delegasi Mak Yong Kijang Mas akan bertandang pada 13 - 15 Mac (Bengkel) dan 16 & 17 Mac (Persembahan Mak Yong ‘Puteri Jerijit Emas’) di Auditorium JKKN Kedah, Taman Budaya Negeri, Kedah Darul Aman.

Selain itu, bagi peminat di Pulau Pinang pula, delegasi Mak Yong Kijang Mas akan bertandang pada 18 - 20 Mac (Bengkel) dan 22 & 23 Mac (Persembahan Mak Yong ‘Puteri Jerijit Emas’) di Auditorium JKKN Pulau Pinang, Taman Budaya Pulau Pinang.

Bagi penjelajahan di negeri-negeri lain pula, Selangor pada 9- 11 Mei (Bengkel) dan 12 & 13 Mei (Persembahan) di UiTM Shah Alam.

Manakala Pahang pada 15 & 17 Mei (Bengkel) dan 18 & 19 Mei (Persembahan) di Auditorium Kompleks JKKN Pahang, Taman Budaya Negeri Pahang.

Sementara itu bagi Zon Selatan-Johor pula akan diadakan pada 13 - 15 Jun (Bengkel) dan 16 & 17 Jun (Persembahan) di Sekolah Seni Johor sementara di Sabah pada 19 - 21 Jun (Bengkel ) dan 22 & 23 Jun (Persembahan) di Kompleks JKKN Sabah.

Maklumat lanjut tentang Siri Jelajah Mak Yong boleh didapati di laman sesawang rasmi www.jkkn.gov.my dan laman Facebook Sahabat Budaya JKKN.

Sinopsis Puteri Jerijit Emas:

Kisah ini menceritakan Raja Muda Kesukma Jaya meminta izin dengan ayahandanya Raja Besar memburu bersama kedua-dua pengasuhnya. Ketika di hutan beliau terdengar bunyi kemerduan kicauan sekumpulan burung yang mengasyikkan. Burung-burung yang sedang mandi dikolam itu adalah Tuan Puteri Jerijit Emas dan inang-inangnya yang telah ditukarkan oleh Nenek Pendita yang menjaga puteri itu menjadi sekumpulan burung, demi menjaga keselamatan mereka.

Raja Muda Kesukma Jaya dan pengasuhnya terus mencari di mana datang suara burung-burung itu. Lalu berjumpalah kumpulan burung-burung yang sedang mandi-manda dengan asyiknya di kolam itu. Dengan tidak melengahkan masa dicampakkan Jala kepada burung-burung tersebut lalu terkena pada tuan puteri Jerijit Emas. Burung-burung lain terbang pulang dan mengadu kepada Nenek Pendita. Nenek Pendita menjelma menjadi seekor kucing hutan untuk pergi menyelamatkan Tuan Puteri Jerijit Emas.

Ketika Raja Muda Kesukma Jaya asyik bermain dengan burung ditangkapnya (Tuan Puteri Jerijit Emas) itu, tiba-tiba sepantas kilat Nenek Pendita yang menjelma menjadi kucing hutan telah menyambar Tuan Puteri Jerijit Emas lalu dibawa lari bersembunyi di dalam gua. Nenek

Pendita menyihirkan pintu gua dengan beratus-ratus ekor ular berbisa. Dapatkah Raja Muda Kesukma Jaya dan Tuan Puteri Jerijit Emas menyelamatkan diri? Saksikan kisah ini di pementasan ini nanti.