Wednesday, March 7, 2012

Lelaki Vietnam mati ditetak

SIASAT... pihak polis memeriksa mayat yang disyaki warga Vietnam dengan kesan tetakan di seluruh badannya dalam kejadian di Jalan Seroja Kampung Sungai Kayu Ara.
SIASAT... pihak polis memeriksa mayat yang disyaki warga Vietnam dengan kesan tetakan di seluruh badannya dalam kejadian di Jalan Seroja Kampung Sungai Kayu Ara.

PETALING JAYA: Disyaki angkara judi, seorang lelaki warga Vietnam ditemui mati dengan perut terburai serta kesan tetakan di seluruh badan berdekatan sebuah rumah kedai di Jalan Seroja, Damansara Utama di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an ditemui orang ramai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah berdekatan rumah sewa yang dihuni mangsa bersama isteri serta beberapa rakan senegaranya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata sebaik pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai, sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian untuk siasatan.

Menurutnya, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat kimpalan dipercayai ditetak mati dalam pergaduhan dengan beberapa orang yang mungkin dikenalinya.


"Mangsa ditetak di seluruh badannya termasuk perut dan kepala dan kami sedang menjejaki rakan mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya yang menolak kemungkinan samun sebagai motif pembunuhan.


Beliau yang ditemui di lokasi kejadian malam tadi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Sementara itu, seorang lelaki dikenali sebagai Thien yang mengaku teman sekampung mangsa di Vietnam, menjelaskan bahawa mangsa dikenali sebagai seorang yang gemar berjudi.

Menurutnya, kira-kira dua hari lalu, mangsa yang sudah lapan tahun bekerja di Malaysia, dikatakan mengalami masalah dengan beberapa lelaki warga Indonesia berikutan kegiatan judinya.

Katanya, dia percaya kejadian berkenaan berpunca daripada perselisihan faham dengan kumpulan lelaki Indonesia terbabit.

Menurut Thien lagi, mangsa baru melangsungkan perkahwinan tahun lalu dan tinggal bersama isterinya di rumah sewa terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment