Debaran yang dirasai semasa badan dihenjut oleh gegaran kuat enjin kenderaan tersebut yang dirasakan seperti kuasa pecutan seekor kuda yang sedang ditunggang.
Berkongsi pengalaman, penulis bersama 20 peserta lain yang menyertai program Kembara Lasak ATV Meredah Kemensah anjuran Kelab Rekreasi Utusan Malaysia (KRUM) menyahut cabaran meneroka hutan dengan menggunakan kenderaan tersebut di Kemensah, Selangor, baru-baru ini.
Aktiviti ini yang diadakan buat pertama kali itu dilihat mendapat sambutan selepas pengarah projek, Muhamad Amirul Afiq Mastor mengiklankan program tersebut di dalam akhbar Utusan Malaysia.
Amirul berkata, program itu membolehkan peserta merasai pengalaman melakukan aktiviti lasak dengan menunggang motosikal beroda empat jauh ke dalam hutan.
"Setiap peserta berdepan dengan pelbagai halangan semula jadi seperti akar-akar kayu serta laluan berbatu yang mencabar.
"Di samping halangan mencabar, aktiviti seperti ini juga memupuk semangat kerjasama dan keakraban di kalangan peserta," jelasnya.
Setibanya di Kemensah, para peserta diberi taklimat berkaitan aktiviti dan ciri-ciri keselamatan yang perlu dipatuhi terlebih dahulu sebelum cabaran sebenar bermula pada petang 25 Februari 2012.
Di akhir taklimat, peserta diagihkan kepada tiga kumpulan bagi memudahkan pergerakan yang dikawal oleh pihak pengurusan ATV.
Sebelum ke trek cabaran ATV, peserta diberi peluang memandu uji ATV masing-masing untuk menyesuaikan diri.
Untuk cabaran kali ini, mereka memilih Pakej D iaitu menunggang ATV selama dua ke tiga jam sebelum berhenti rehat di kawasan air terjun berdekatan.
Perjalanan melalui gaung membuatkan ada peserta berasa gayat, selain cabaran mengharungi jalan denai-denai hutan yang dipenuhi pohon buluh, laluan becak dan berliku.
Sambil mengendalikan ATV, setiap peserta turut berpeluang melihat panorama flora dan fauna yang mendamaikan di sekeliling sambil ditemani bunyi unggas dan cengkerik yang bersahut seakan-akan menyambut kehadiran mereka.
Para peserta juga berkesempatan untuk beriadah di kawasan air terjun selama 30 minit sebelum pulang semula ke pusat aktiviti lasak itu.
Sebelum keluar dari kawasan air terjun tersebut, mereka tidak melepaskan peluang bergambar kumpulan sebagai kenangan.
Aktiviti ATV mengeratkan hubungan peserta
Menurut salah seorang peserta yang berasal dari Klang, Selangor, Irwan Jamingan, 33, beliau berasa begitu teruja sepanjang aktiviti itu dilakukan.
Katanya, aktiviti menunggang ATV ini amat bermakna buatnya lebih-lebih lagi tarikh di mana aktiviti ini dijalankan merupakan tarikh ulang tahun perkahwinannya yang kedua.
"Ini merupakan kali pertama saya mencuba menunggang ATV dan ia amat menyeronokkan.
"Selain beriadah, aktiviti ini juga sesuai dijadikan hadiah ulang tahun perkahwinan kerana ketika menunggangnya, kami berpeluang mengeratkan lagi hubungan suami dan isteri.
"Selain itu, aktiviti ini juga banyak membantu diri saya untuk meningkatkan keyakinan diri serta menajamkan minda," katanya.
Bagi isterinya, Elisah Mishal, 34, berkata, keseronokan pertama kali menunggang motosikal roda empat itu bukan sahaja memberikan pengalaman yang baru, malah menguji ketahanan mental dan fizikal terutama ketika melalui kawasan bercerun curam.
"Selain dapat mengeluarkan peluh, menunggang ATV juga memberi ketenangan kerana membolehkan setiap peserta menikmati panorama alam semula jadi yang menghijau.
"Kepuasan sebenar dirasai apabila berjaya mengawal handle (pemegang) ATV dan dapat menunggangnya dengan baik," katanya.
Selain menikmati kesegaran udara hutan yang jauh dari kota raya, peluang menunggang ATV membolehkan Muzami Zambri, 22, bertemu dengan rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.
"Aktiviti ini mencabar kekuatan fizikal. Ia nampak mudah tetapi hakikatnya sukar dikendalikan.
"Cabaran diuji ketika di trek yang berliku dan berbukit kerana kesukaran mengawalnya pasti dirasai," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: