jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Wednesday, March 14, 2012

Konsep baharu Karoot Komedia


KAROOT KOMEDIA turut menampilkan pelakon residen pada setiap episod yang sebahagian besarnya merupakan pelawak-pelawak yang sudah mencipta nama.


Sejajar dengan konsep Astro Warna (saluran 132) yang ingin sentiasa memberikan program lawak berkualiti kepada penonton mereka, sebuah rancangan komedi terbaharu, Karoot Komedia bakal disajikan kepada penonton yang inginkan komedi secara berterusan.

Karoot Komedia merupakan sebuah program komedi muzikal yang berdurasi selama 30 minit. Melalui gabungan muzik dikir barat serta lakonan sketsa pelakon komedi terkenal, Astro Warna menjanjikan program ini bakal menyerlahkan sisi lain serta konsep baharu rancangan komedi yang sedia ada di Astro Warna kini.

Karoot merupakan perkataan yang lahir daripada tukang karut yang bertindak sebagai pencerita semasa dikir barat. Istilah komedia pula lahir daripada perkataan Greek iaitu comedia iaitu gelaran kepada teater komedi di Greek.

“Antara keunikan yang bakal diselitkan menerusi Karoot Komedia adalah penampilan kumpulan dikir barat yang mengikut tema sketsa pada rakaman minggu tersebut.

“Selain itu, kami juga tampilkan pelawak-pelawak yang diminati ramai seperti Ebby Yus, Johan, Jep Sepahtu, Jihan Raja Lawak serta Yus Raja Lawak yang menjadi pelakon residen program ini setiap minggu.

“Konsep seperti ini dipilih kerana kami mahu berikan sesuatu yang berbeza kepada penonton. Idea ini juga tercetus setelah saya, Sabri Yunus dan Husin Saaban mencapai kata sepakat mahu menghasilkan sesuatu yang akan membuatkan penonton tidak berganjak dari depan kaca TV dari mula hingga ke akhir program,” jelas Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai tentang konsep yang dipilih.


KELAINAN Karoot Komedia dijana menerusi penampilan kumpulan dikir barat yang akan berubah penampilan mengikut teman yang berbeza pada setiap minggu.


Apa yang menariknya, kumpulan dikir barat akan mengikut tema judul pada minggu tersebut. Sebagai contoh, jika tema rakaman minggu itu ialah tentang Mat Rempit, maka ahli dikir barat akan berpakaian seperti Mat Rempit iaitu dengan memakai topi keledar dan koreografi juga akan menjurus kepada aksi merempit.

Selain itu juga, para pelakon residen akan ditentukan watak mereka oleh penonton yang hadir dan mereka juga tidak diberi skrip serta dialog. Namun, sebelum program dirakam, mereka akan diberitahu secara ringkas tentang jalan cerita yang akan dipilih kelak.

“Jalan ceritanya pula dipilih mengikut isu semasa yang popular dan sememangnya kami selitkan teladan dan mesej yang boleh memberi pengajaran kepada penonton. Kami memang mahu wujudkan mesej melalui komedi supaya ia mudah diterap penonton.

“Alhamdulillah sepanjang rakaman, ia sangat mendapat sambutan daripada penonton yang hadir ke studio. Apa yang dilihat, mereka juga sangat enjoy ketika menonton Karoot Komedia,” kata Bob lagi.

Apa yang boleh disimpulkan, penonton pasti tidak kering gusi menonton program baharu Karoot Komedia dengan sajian lawak spontan yang dilakonkan pelawak-pelawak residen yang dipilih.

Program itu bakal bersiaran bermula 22 Mac setiap hari Khamis pukul 10 malam.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: