Saturday, March 17, 2012

Kia Sephia enjin Toyota


KERETA jenama Korea juga tidak terlepas daripada usaha modifikasi pemilik-pemilik tempatan.


KALAU orang tanya tentang kereta pilihan untuk dijadikan projek modifikasi, rasanya nama Kia pasti tidak masuk dalam senarai. Kereta Kia sering digambarkan sebagai kereta yang membosankan dan langsung tidak sesuai untuk dijadikan bahan modifikasi. Antara sebabnya, reka bentuk kereta Kia yang tidak sporty, selain nama Kia itu sendiri tidak mempunyai aura untuk sebuah kereta berprestasi tinggi.

Atas alasan itulah harga terpakai Kia boleh dikatakan cukup murah. Malah tidak ramai orang mahu membelanjakan wang mereka untuk membeli kereta itu. Bagaimanapun bagi orang Malaysia yang mempunyai falsafah semua jenis kereta boleh diubahsuai, tiba-tiba pula muncul segelintir peminat kereta yang menjadikan Kia sebagai platform modifikasi mereka.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa model Kia Sephia dan Spectra dibina di atas kerangka Mazda Familia. Tidak jauh bezanya macam Proton Wira menggunakan kerangka Mitsubishi Lancer untuk model kereta mereka.

Jadi, berdasarkan kepada pemerhatian saya, semakin banyak kereta Kia Sephia atau Spectra yang mula menggunakan enjin Mazda B8 bagi menggantikan enjin asal kereta tersebut.

Namun begitu, lain pula halnya dengan Kia Spectra ini. Ketika orang lain sibuk memasukkan enjin Mazda ke dalam kereta Kia masing-masing, pemilik Kia ini pula memilih untuk menggunakan enjin Toyota ke dalam kereta Kia miliknya.

Mungkin juga kerana pemiliknya kedekut hendak bayar cukai jalan yang mahal dan percaya dengan mitos kelasakan enjin Toyota yang katanya cukup susah rosak walaupun dibelasah teruk.


PEMASANGAN enjin Toyota 4AGE four throttle pada model Kia kelihatan cukup kemas.


Kerja pemasangan kelas A

Proses memasukkan enjin 4AGE four throttle itu memerlukan kerja custom pada bahagian cagak enjin yang lebih mesra Mazda berbanding Toyota. Setelah selesai dengan bahagian cagak enjin, pemiliknya terpaksa pula menempah satu set aci picu (drive shaft) untuk disambung kepada kotak gear baharunya.

Dalam erti kata lain, kerja hendak memasukkan enjin itu bukanlah mudah. Namun, daripada apa yang saya lihat daripada mata kasar, kerja pemasangan enjin itu bolehlah dikategorikan sebagai kelas A - memang terbaik!

Enjin four throttle tersebut tidak banyak diusik dari segi modifikasi yang lain. Cuma penapis udara asalnya diganti dengan penapis udara pod terbuka K&N. Sebabnya, kotak penuras udara asal enjin tersebut tidak boleh dimuatkan di dalam ruang enjin Kia itu. Sistem penyampaian bahan api pulak dinaik taraf menerusi pemasangan sebuah penyelaras bahan api Mine's bersama pam bahan api berkuasa tinggi Walbro.

Kesemua hos getah di dalam enjin diganti dengan hos silikon Samco. Sementara radiator asal enjin diganti dengan radiator aluminum berteras tebal jenama 5Zigen. Apa yang menariknya, sistem ekzos Kia itu masih menggunakan sistem ekzos standard dari kilang yang mengurangkan sedikit prestasi dari enjin baharunya itu.

Pemiliknya juga gembiran dengan sistem gantungan asal keretanya kerana dia langsung tidak menyentuh sistem penyerap hentak asal kereta tersebut. Satu-satunya naik taraf yang dibuat adalah pemasangan sebuah strut bar Hot Bits pada bahagian hadapan kereta. Breknya pun masih unit standard. Tidak mengapa kerana ia sudah pun menggunakan khidmat empat brek cakera.


MODIFIKASI kecil-kecilan dilakukan pada papan pemuka model Kia ini.


Bahagian lain yang dinaik taraf ialah rim. Rim asal Kia diganti dengan rim aloi buatan Taiwan bersama tayar yang lebih lebar. Dari segi kosmetik, Kia Spectra berwarna hitam itu dilengkapi kit badan Novus lengkap yang merupakan salah satu pakej yang boleh dibeli ketika ia mula-mula ditawarkan dahulu. Jadi, walaupun kereta tak direndahkan, kereta ni masih nampak cantik dan agak sporty.

Bahagian dalaman Kia itu tidak banyak yang diusik. Malah papan pemukanya pun masih menggunakan papan pemuka yang asal. Cuma dengan kreativiti, pemiliknya berjaya mengubahsuai sedikit konsol tengahnya untuk menerima tuil gear manual. Stereng asal yang mempunyai sistem beg udara diganti dengan stereng Momo jenis deep dish.

Sebenarnya, ubah suai ke atas Kia ini amat ringkas. Namun ia memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mendapat hasil yang anda boleh lihat di sini. Bukan senang hendak masukkan enjin dari pengeluar lain ke kereta yang langsung tidak bermimpi untuk menggunakan enjin tersebut. Berbekalkan semangat Malaysia Boleh, projek Kia itu dapat disudahkan dengan hasil yang mengagumkan!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: