Sunday, March 25, 2012

Kekasih Amerika jadi ahli sihir




'CERMIN, oh cermin, siapakah wanita tercantik di dunia?' Itu baris dialog yang cukup untuk mengingatkan semua kepada dongeng Inggeris yang cukup popular. Kepada jutaan pecinta filem seluruh dunia, ada kemungkinan gelaran wanita tercantik itu masih milik Julia Roberts.

Aktres filem Pretty Woman itu meninggalkan impak besar menerusi wataknya sebagai Erin Brockovich sehingga dia dijulang sebagai pemenang Oscars. Melekat dengan gelaran 'kekasih Amerika' namun untuk filem terbaharunya berjudul, Mirror Mirror, Julia ternyata jauh meninggalkan wajah manis yang ditempanya dalam filem America's Sweatheart pada 2001.

Dalam versi terbaharu dongeng Snow White itu, Julia menangani watak permaisuri jahat yang sedaya upaya mahu melenyapkan anak tirinya, puteri Snow White yang memiliki kecantikan luar biasa. Tidak mahu kecantikan Snow White mengatasi kecantikan dirinya, permaisuri yang gila kuasa itu menggunakan pelbagai tipu muslihat agar kematian Snow White tiada kaitan dengan rancangan jahatnya.

"Saya membawakan versi permaisuri jahat yang sedikit gila-gila dan ia sangat menyeronokkan," mukadimah Julia terhadap Mirror Mirror yang dianggap seperti kelahiran semula dirinya dalam filem fantasi selepas 20 tahun terlibat dalam filem Hook (1991).

Mirror Mirror bakal masuk panggung tempatan menjelang 29 Mac nanti. Dalam filem arahan Tarsem Singh itu, watak Snow White dibawakan oleh Lilly Collins manakala Armie Hammer menggalas watak Prince Charming.

Di mata Julia, Armie Hammer sememangnya memiliki sosok yang menawan.

"Dia berketinggian 195 sentimeter, miliki perwatakan yang baik, manis, menepati waktu dan tahu peranannya. Saya fikir dia akan menyumbang aksi hebat dalam wataknya," puji Julia.

Di belakang tabir filem, ibu kepada tiga cahayamata itu menjadi teman yang setia di sisi suaminya, Danny Moder. Tahun ini mereka akan menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-10.

DEBUT AHLI SIHIR

Pernah melakonkan watak kawan baik yang agak psiko dalam My Best Friends Wedding, pelacur kelas atasan dalam Pretty Woman sehinggalah watak ibu tunggal yang juga pembantu undang-undang dalam Erin Brockovich, Julia mampu memberikan persembahan genre komedi sehinggalah romantik. Kali terakhir muncul dalam Larry Crowne (2011) dan Eat Pray Love (2010), pada tahun 2012, ramai yang tidak sabar menantikan aktres berusia 44 tahun itu dalam fiksyen fantasi Mirror Mirror.

“Seronok bila dapat peluang bermain watak, tidak kiralah sama ada ia wujud atau tidak dalam kehidupan sebenar. Saya boleh lakonkan apa sahaja watak tanpa risau terhadap impak watak jahat itu ke atas saya,” katanya gembira kerana watak permaisuri jahat itu tidak diberikan nama lain selain permaisuri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: