Penari kebudayaan itu dipilih sebagai protege Fauziah Ahmad Daud (Ogy) selepas melalui empat tapisan uji bakat.Selain Noor Nazatul Farahin atau Zatul, Mentor musim enam ini turut membariskan bekas peserta Showdown, Abdul Kadir Unding Lana atau KJ, 23, selaku protege Adam; penggiat teater, Anas Ridzuan, 23 (Faizal Tahir); Puteri Caroline Mohd Kamel, 20 (Ella); Ana Syuhada Noor Asram, 21 (Ramlah Ram); dan Salwani Sawi, 18 (Ferhad).
"Sebelum pemilihan akhir, saya minta setiap calon mengadakan persembahan seperti di konsert, yang bermakna mereka perlu mempunyai skil menarik perhatian khalayak selain kekuatan vokal. Proses itu saja memakan masa berjam-jam dan Zatul mampu berdepan ujian terbabit.
"Apa pun saya sendiri pasti akan 'turun padang' setiap hari melatihnya, walau punya pasukan sokongan baik dari segi vokal, imej diri, komunikasi dan pakar motivasi. Pertalian antara mentor dan protege perlu kukuh bagi menyuntik keyakinan anak didik," katanya selepas sesi memperkenalkan peserta program itu di ibu kota, semalam.
Bagi Zatul, kewibawaan Fauziah dalam bidang hiburan membuatkannya bersemangat untuk mencuba nasib.
"Sebaik dimaklumkan bakal ke peringkat seterusnya, saya menyediakan lebih 20 lagu sebagai persiapan," katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Mentor 6, Muhamad Sufian Isa, berkata format dan konsep program itu tidak berubah. Cuma kali ini mereka memperkenalkan dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini, supaya perkembangan setiap peserta dapat diikuti sejak awal lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: