PERIBAHASA latin tentang cinta menyebut amor est vitae essentia yang bermaksud, cinta adalah hakikat kehidupan.
Bagi pasangan bercinta, saat melafazkan perasaan kepada pasangan masing-masing adalah detik paling indah apabila dua hati terpatri untuk menjadi satu ikatan dalam lubuk jiwa.
Ucapan ‘aku cinta padamu’, ‘kau milikku’ atau ‘aku jujur selamanya buat dirimu’ pastilah antara kata-kata yang bermain-main di fikiran sebelum dilontarkan.
Saat itulah dikongsi 29 pasangan yang telah melafazkan ikrar cinta dan sayang beramai-ramai di pusat beli- belah Sunway Carnival Mall (SCM) di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada tanggal 12 Februari lalu.
Majlis istimewa bersempena Festival Perkahwinan 2012 itu dianjurkan SCM dengan kerjasama Hotel Sunway Seberang Jaya dan sebuah syarikat pengurus acara, Kenlink.
Sambil disaksikan ratusan pengunjung pusat beli-belah itu, kesemua pasangan menggayakan gaun perkahwinan, tuksedo dan aksesori rekaan Star East, Kuang Yee dan Putree Bridal House.
Mereka yang kelihatan anggun serta menawan ini mendapat sentuhan solekan oleh jurusolek APT Hair Salon & Academy.
Pasangan kemudian berjalan beriringan untuk diarak ke pentas utama. Mereka yang kemudian berdiri menghadap antara satu sama lain diminta melafazkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing.
Sijil pengiktirafan
Sebagai simbolik, kesemua pasangan menerima sijil pengiktirafan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Danny Law Heng Kiang yang hadir selaku tetamu rasmi.
Majlis ini diserikan lagi dengan pertunjukan fesyen hasil sentuhan pereka tempatan, Kelv dan gaun pengantin oleh Emmanuel Haute dan Ranndy Goh.
Rekaan-rekaan cantik itu diperagakan model terkemuka tanah air, Amber Chia bersama beberapa peragawati tempatan lain.
Bagi pasangan Mohamad Fairuzzaine Azmi, 27, dan Ang Hui Pheng, 25, mereka memilih ke majlis itu bagi membuktikan keikhlasan dalam perhubungan yang dijalin sejak setahun lalu.
Menurut Mohamad Fairuzzaine, beliau dan pasangannya berharap dapat mengakhiri momen indah itu di gerbang perkahwinan seperti yang dirancang.
“Saya gembira dan bersyukur, apatah lagi majlis bersejarah ini turut dihadiri keluarga oleh kedua-dua belah pihak,” ujar Mohamad Fairuzzaine.
Kedua-duanya yang dipertemukan oleh rakan-rakan sebelum terbit bibit-bibit percintaan berhajat melafazkan ikrar cinta secara terbuka.
Meluah rasa cinta
Perasaan gembira turut dikongsi oleh Choo Jun Wei, 22, dan pasangannya Lee Shu Ping, 18, yang memberitahu mula berkenalan semasa keluar menonton wayang bersama rakan-rakan setahun lalu.
Menurut Jun Wei, beliau ingin meluahkan rasa kasih dan cinta serta meninggalkan detik manis kepada pasangannya.
Upacara penuh warna-warni itu turut disertai pasangan warga emas, Kim Yong Goom, 67, dan isterinya, Lee Seet Mooy, 64, yang melafazkan ikrar percintaan kekal abadi mereka setelah 39 tahun mendirikan rumah tangga.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran SCM, Amy Lee berkata, sebanyak 14 pakaian pengantin sumbangan beberapa butik turut dilelong dalam satu jualan amal bermula pada harga serendah RM10.
Katanya, hasil jualan berjumlah RM1,590 kemudian disumbangkan kepada Persatuan Kanak-kanak Terencat Akal Seberang Perai Utara.
“Pada hari kedua karnival ini pula, seramai sepuluh pasangan yang sedang bercinta untuk menyertai sebuah acara kuiz istimewa. Mereka itu dipilih daripada hasil soal jawab yang mereka sertai di laman sosial SCM.
“Mereka diajukan pelbagai soalan secara berasingan berkaitan pasangan masing-masing, pengalaman indah semasa bercinta bagi mencari pasangan yang paling secocok,” ujar Amy.
Setelah diuji, Louis Tan, 28, dan kekasihnya, Jessc Teh, 25, diumumkan sebagai pemenang seterusnya berjaya membawa pulang sebentuk cincin berlian bernilai RM2,500 tajaan Vinstella.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: