|
|
MEMBAWA penjenamaan baru dalam rangkaian produk telefon bimbit pintarnya, Sony Ericsson baru-baru ini memperkenalkan beberapa lagi model terkini dalam portfolio Xperia NXT (disebut sebagai Next).
Diumum ketika acara Mobile World Congress yang berlangsung di Barcelona, model-model tersebut termasuk Xperia S, Xperia P dan Xperia U.
Kesemua model itu dikombinasi bersama reka bentuk lebih segar dengan sokongan teknologi hiburan berkuasa sesuai untuk memenuhi keperluan pengguna hari ini.
Secara asasnya, platform Xperia NXT boleh diintegrasikan bersama fungsi hiburan premium daripada Sony yang terdapat pada peranti televisyen, komputer riba serta tablet.
Untuk paparan antara muka pula, Xperia NXT menawarkan pengalaman akses lebih mudah menerusi capaian aplikasi seperti permainan muzik, video dan foto daripada skrin utama.
Bagi model Xperia S, ia dilengkapi paparan skrin resolusi tinggi (HD) dengan teknologi Sony HD selain pemproses dua teras 1.5 GHz dan kamera 12 megapiksel.
Bagi penggemar permainan video pula, gajet ini tersedia bersama aplikasi permainan konsol PlayStation Store.
Sementara Xperia P pula hadir bersama sokongan paparan skrin berkecerahan tinggi yang mengaplikasikan teknologi WhiteMagic.
Binaan rangka luarnya yang diperbuat daripada material aluminium menjadikan model berkenaan kelihatan cukup elegan.
Melihat spesifikasi Xperia U, ia disempurnakan dengan keupayaan hiburan maksimum bersama rekaan kompak dan ringkas.
Tidak cukup dengan itu, kedua-dua Xperia P dan dan Xperia U turut dipacu enjin paparan realiti Mobile BRAVIA selain sistem pemproses dua teras.
Xperia S bakal memasuki pasaran dunia menjelang suku pertama tahun 2012 sementara Xperia U dan P akan menemui pengguna pada suku kedua tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: