BATU PAHAT - Pasukan futsal yang dianggotai oleh remaja berketurunan Cina di negeri ini disaran menyertai Liga Futsal Remaja Johor 2012 Mpire Kosmo! yang akan berlangsung di PB Futsal, Parit Besar di sini pada 28 dan 29 April depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Penggaram, Datuk Koh Chee Chai berkata, remaja berketurunan Cina di negeri ini semakin meminati sukan tersebut dan mereka telah menubuhkan banyak pasukan futsal sejak kebelakangan ini.
"Sukan futsal kini merupakan satu trend dalam kalangan golongan muda termasuk berketurunan Cina," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau berkata, menerusi liga futsal itu, pasukan remaja terlibat dapat menguji kemampuan mereka bersaing dalam sukan tersebut pada peringkat negeri.
Selain itu, katanya, penganjuran sukan itu juga akan menjadi satu interaksi yang baik antara pemain yang terdiri daripada pelbagai kaum, seterusnya menjayakan gagasan 1Malaysia.
"Saya percaya liga futsal itu akan lebih meriah dengan penyertaan peserta daripada pelbagai kaum," ujarnya.
Selepas Batu Pahat, pertandingan futsal tersebut akan diteruskan di Kluang pada 12 dan 13 Mei, Segamat (26 dan 27 Mei), Pontian (2 dan 3 Jun), Kota Tinggi (23 dan 24 Jun).
Mersing (7 dan 8 Julai), Muar (29 dan 30 September), Kulaijaya (6 dan 7 Oktober) dan Johor Bahru (3 dan 4 November) dan Grand Final juga di Johor Bahru pada 9 Disember.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi sekretariat pertandingan di talian 013-7860313 atau layari laman Facebook iaitu Liga Futsal Mpire Kosmo!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: