Sunday, March 4, 2012

Fenomena Bunohan


CERIA penuh kelegaan. Itu reaksi semua pelakon termasuklah (dari kiri) Zahiril, pengarah Bunohan, Dain Said, Faizal Hussein dan Pekin Ibrahim pada sidang akhbar selepas tayangan malam gala Bunohan di TGV,KLCC, Rabu lalu.


CERITA dari mulut ke mulut, paparan media dan sembang dalam laman sosial menjadi rujukan utama mengukur tahap keterujaan pencinta filem Bunohan. Reaksi positif serta pujian melambung daripada penggiat industri, para selebriti, peminat filem dan dunia seni memberi petanda, bahawa karya Dain Said akan menjadi satu fenomena.

Menemui penonton pada malam gala yang berlangsung 29 Februari lalu, tidak keterlaluan kalau Bunohan dikatakan mencetus 'demam filem', satu perkara yang jarang berlaku kepada industri perfileman tanah air. Mungkin ia pernah berlaku kepada filem epik Puteri Gunung Ledang (PGL), tetapi kehangatan PGL tidak setanding Bunohan memandangkan ketika itu, Facebook dan Twitter tidak wujud seperti hari ini.

Dalam ratusan tweet yang menjadikan Bunohan mencapai trending popular, Adibah Noor pula menulis: "Belajarlah dan tontonlah Bunohan."

Sebelum disaksikan sendiri sekelompok penonton termasuk pihak media yang dalam senarai jemputan, Bunohan terlebih dahulu dipanaskan oleh penghormatan orang filem dari luar negara.

Ia mendapat penghormatan apabila dijemput mengisi tayangan perdana antarabangsa pada Festival Filem Antarabangsa Toronto, September lalu. Menyusul pada Oktober 2011, Bunohan mendapat diangkat sebagai penerima Anugerah Netpac (Rangkaian Promosi Filem Asia) di Festival Filem Taipei Golden Horse.

Mendapat kontrak pengedaran di bawah syarikat pengedaran antarabangsa, Universal Pictures, terbaru Bunohan diberi sanjungan pula tayangan perdana di Eropah sempena Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) yang berlangsung Januari lalu.

Pencapaian-pencapaian itu cukup untuk membakar kesedaran umum, khususnya peminat filem tempatan untuk berkobar-kobar menunggu tayangan Bunohan di tanah air sendiri. Ia dilabel bukan sembarangan filem Melayu kerana jauh keluar dari kepompong filem Malaysia.

Ulasan Bunohan terlebih dulu ditulis media luar negara dan tersiar dalam portal ulasan hiburan antarabangsa seperti Variety.com dan The Hollywood Reporter. Menariknya, ia berjaya mendapat penilaian yang sangat positif manakala Faizal Hussien yang membawa watak pembunuh upahan mendapat jolokan Jack Palance Malaysia oleh John Anderson dalam Variety.com.

Pengarah tersohor, U-Wei Saari turut memuji Bunohan, katanya: "Bunohan sebuah filem yang hebat, saya bangga dengan Dain."

Dalam tinjauan sebuah laman kaji selidik mengenai trending popular di Twitter, Topsy.com menyenaraikan sejak 30 hari lalu, trending Bunohan mencapai sebanyak 67 halaman sehingga petang Jumaat lalu.


WAN HANAFI SU, menyentuh emosi sebagai bapa yang uzur serta mempunyai sejarah hitam dalam keluarganya.


Tidak termasuk luahan-luahan yang diulang tweet, trending Bunohan dibicarakan lebih 1,000 kali oleh pemilik akaun Twitter.

Menuju beberapa hari sebelum tayangan pada 8 Mac ini, Bunohan didefinisikan ramai sebagai filem tempatan yang akan membuka mata dunia. Mengangkat martabat filem Melayu yang selama ini jarang diberi perhatian sejagat.

Bunohan berkisarkan penipuan, pengkhianatan dan perhubungan kekeluargaan yang disemarak oleh darah dan mitos. Tiga beradik, Ilham seorang pembunuh upahan, Adil peninju Muay-Thai serta Bakar seorang guru yang masing-masing ada haluan berbeza. Ia digerakkan lakonan cemerlang oleh pelakon berkaliber termasuklah Faizal Hussien, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Pekin Ibrahim, Namron, Shoffi Jikan serta Wan Hanafi Su.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: