fasha-dan-jejai

Khabar mengenai perkahwinan aktres Fasha Sandha bukan lagi rahsia buat peminat dan industri seni. Sebelum ini, pelbagai spekulasi mengenai tarikh perkahwinan Fasha hangat diperkatakan dan terbaru, Fasha dikatakan bakal menamatkan zaman bujangnya 29 April ini bersama jejaka pilihannya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Tidak menafi kan khabar angin itu, Fasha yang ditemui ketika Majlis Pelancaran Wajah Inspirasiku TV3, tidak lagi berteka-teki mengenai perancangannya untuk bergelar isteri tidak lama lagi.

Enggan mendedahkan tarikh sebenar perkahwinannya, Fasha mengakui bakal melangsungkan perkahwinan April ini dalam suasana sederhana.

“Ya, kami akan bernikah April ini, tetapi atas permintaan bakal suami saya, saya tidak boleh dedahkan tarikh sebenar.

Bila dah dekat dengan tarikhnya, kami akan edarkan kad tanpa mengadakan sebarang sidang media untuk mengumumkan tarikh itu.

“Lagipun, majlis yang diadakan hanya sederhana. Saya tidak pernah mengimpikan majlis besar-besaran dengan gelaran Wedding Of The Year, cukuplah sekadar majlis itu sederhana tetapi sentiasa diingati.

“Bagi kami, majlis sederhana lebih indah kerana kita dapat beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Jika terlalu ramai, kita tak sempat nak melayan mereka,” katanya yang bakal melangsungkan pernikahan di rumah yang dibeli bakal suaminya di Ampang.


Enggan ditaja

MENETAPKAN tiga majlis resepsi, selain majlis yang diadakan di kediaman barunya di Ampang, Fasha turut mengadakan resepsi di kampung halaman, Perlis dan sebuah lokasi yang masih dirahsiakan, di luar Malaysia.

“Majlis pertama, ia diadakan sekali gus dengan majlis akad nikah. Kami hanya menjemput 200 tetamu sahaja.

Tiada sebarang tema untuk majlis pertama.

“Di Perlis, saya memilih tema tradisional. Majlis yang diadakan lebih besar kerana keluarga saya sangat ramai, mungkin 1,000 tetamu.

“Bagi resepsi ketiga, ia di luar Malaysia dan dihadkan kepada 200 tetamu sahaja. Ia hanyalah untuk kenalan terdekat sahaja,” katanya.

Jika selebriti lain lebih selesa menerima tajaan daripada pihak tertentu, namun berbeza pula dengan Fasha dan bakal suami.

Enggan menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak, Fasha mengambil langkah itu sebagai salah satu cara agar tidak terhutang budi.

Jelas Fasha, segala kelengkapan perkahwinan termasuk empat persalinan dibeli sendiri bakal suaminya tanpa tajaan.

“Sejak awal perancangan lagi, bakal suami melarang saya untuk menerima sebarang tajaan. Dia mahu mengeluarkan wangnya sendiri untuk majlis kami.

“Meskipun saya mendapat banyak tawaran tajaan, tapi terpaksa ditolak atas permintaan Jejai.

“Setelah difi kirkan, betul juga pendiriannya kerana dapat mengelak daripada terhutang budi satu hari nanti.

Biarlah segalanya daripada kami sendiri,” katanya yang mengakui lamaran itu merupakan lamaran kedua Jejai buatnya.


Kurangkan aktiviti seni

BERTANYA mengenai persiapannya setakat ini, Fasha memberitahu segala kelengkapan dilakukan berperingkat.

Walaupun tarikh perkahwinan sudah hampir tiba, Fasha masih sempat menjalani penggambaran drama.

“Saya akan ke Perancis untuk penggambaran drama pada 28 Mac sehingga 6 April ini. Selepas itu, saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan.

“Selepas semuanya selesai, barulah saya akan kembali berlakon. Soal karier, bakal suami tidak pernah melarang dan kami telah berbincang mengenai hal ini.

“Namun, saya akan mengehadkan lakonan saya selepas bergelar isteri.

Tetapi, saya tidak akan berhenti kerana ramai peminat yang masih mahu menyaksikan lakonan saya,” katanya yang memilih Pulau Redang sebagai lokasi bulan madu.

Menerusi drama terbarunya, Seindah Sakura, bakal ditayangkan di TV3 menerusi slot Akasia, Fasha diberi peranan memegang watak sebagai Syaqira, yang menghadapi kesempitan hidup dan dibesarkan oleh moyangnya, lakonan Ruminah Sidek.