SHAH ALAM: Pelakon Fadilah Mansor menjelaskan gementar untuk membawa watak utama sebagai Jenab dalam musim terbaru siri Opah yang pernah popular sekitar tahun 1980-an.
Fadilah, 50, berkata, perasaan itu timbul kerana menyedari siri itu pernah menjadi rantaian itu.
"Walaupun musim terbaru ini adalah berkisar mengenai generasi kedua keluarga Opah tetapi saya masih gementar kerana menyedari siri ini pernah menjadi ikutan ramai.
"Pun begitu, saya tetap akan memberikan persembahan terbaik dalam menjayakan drama ini," ujarnya kepada mStar Online.
Fadilah ditemui selepas majlis pelancaran drama bersiri Opah musim terbaru di sini pada Selasa.
Dia bagaimanapun yakin dapat membawa watak sebagai Jenab yang turut dipanggil Opah iaitu anak kepada Opah lakonan Allahyarham Zaiton Hussien dengan baik selain cuba membawa watak itu tanpa terpengaruh dengan pelakon terdahulu.
Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah memegang watak wanita kampung kerana sering mendapat tawaran serupa.
"Dari segi lakonan tiada masalah, Insya-Allah kerana saya bukan memegang watak asal Opah tetapi anaknya iaitu Jenab yang dalam musim baru ini turut di panggil Opah," ujarnya.
Musim terbaru ini adalah kelangsungan daripada siri-siri terdahulu dengan memaparkan kehidupan anak-anak Opah dan cucu-cucunya sebagai tunjang utama.
Bakal disiarkan di TV1 bermula September depan, Opah turut menampilkan pelakon lain seperti Shaharuddin Thamby, Zizan Nin, Aida Khalida dan Sharifah Nadia.
Sementara itu, Fadilah memberitahu dia tidak berfikir panjang saat dilamar oleh pihak RTM untuk membintangi drama 13 episod itu.
Ujarnya, apabila diberitahu ia adalah musim terbaru siri Opah dia terus menerimanya.
"Saya sendiri gemar menonton siri itu dahulu dan apabila mendapat tawaran dari RTM terus saya terima tanpa berfikir panjang," katanya.
Tambahnya, dia sedang giat membuat persiapan untuk sesi penggambaran drama tersebut yang bermula pertengahan bulan ini.
Dalam perkembangan lain, Fadilah berkata dia juga sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri sebanyak 80 episod berjudul Adam & Hawa terbitan Global Networks untuk siaran Astro selain beberapa projek lain.
"Alhamdulillahlah walaupun tidak berapa terkenal dalam bidang lakonan tetapi rezeki masih ada," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: