|
|
SEBULAN lalu, kecoh apabila bekas anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish atau nama sebenarnya Farrish Zaquan Ramli dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Tawakkal disebabkan tekanan darah tinggi. Semuanya gara-gara bebanan kerja.
Malah, keadaannya pada waktu itu dikatakan kritikal apabila Cat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari.
Trauma melalui pengalaman selama dua hari di ICU dengan seluruh badan dipenuhi oleh wayar dan tiub, Cat berjanji untuk menjaga kesihatannya sebaik mungkin dan nekad untuk tidak kembali ke ICU.
Cat menceritakan pengalamannya sepanjang berada di hospital selama hampir sepuluh hari kepada Kosmo!.
Bila anda dimasukkan ke hospital?
Tiga minggu lepas saya dikejarkan ke hospital selepas hidung saya mengeluarkan darah tanpa henti selama sembilan jam. Lebih memburukkan keadaan, darah turut keluar dari mata saya dan doktor memberitahu salah satu sel pada hidung saya pecah. Pihak hospital terpaksa menempatkan saya di ICU untuk rawatan lanjut. Selama seminggu saya berada di hospital untuk rawatan manakala di ICU saya ditempatkan selama dua hari.
Jadi sekarang anda diagnosis penyakit apa?
Doktor kata saya menghidap penyakit tekanan darah tinggi. Sebelum ini saya tidak pernah menghidap penyakit tersebut. Punca saya diserang darah tinggi kerana kurang rehat dan bebanan kerja yang melampau.
Kenapa anda terlalu ‘gila’ kerja sehingga tidak menjaga kesihatan?
Saya akui memang gila kerja dan kerap kali pulang ke rumah apabila hari menjelang subuh. Saya juga jenis suka berfikir terlampau mendalam dan otak saya juga masih aktif ketika tidur.
Boleh ceritakan pengalaman anda sepanjang berada di ICU?
Memang tak dinafikan apabila berada di ICU kita akan ingat tentang mati. Melihat pada pesakit-pesakit yang berada di situ juga membuatkan kita takut. Selepas melalui pengalaman selama dua hari di ICU, saya berjanji akan lebih peka dalam menjaga kesihatan diri. Jika dulu saya keluar lepas subuh dan balik sebelum subuh, kini saya akan pastikan balik sebelum pukul enam petang demi kesihatan diri dan juga isteri serta anak yang sedang membesar.
Apa aktiviti terkini anda sekarang?
Sekarang saya sibuk menguruskan dua siaran Malaysia iaitu My TV dan eRama TV. Saya juga akan menghasilkan sebuah lagu mengenai penyakit yang dihidapi saya iaitu lagu empat serangkai. Lagu ini menceritakan tentang penyakit empat serangkai yang ditakuti manusia iaitu darah tinggi, buah pinggang, jantung dan kencing manis. Saya juga akan menerbitkan sebuah telefilem yang menampilkan Kamal Adli dan pelakon sinetron Indonesia popular Nada Cinta, Mikha Tambayong yang bertajuk Mila Got Mail.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: