Sunday, March 18, 2012

Butik pertama Omega di Pulau Pinang


Rekaan dalaman butik Omega terbaru di Pulau Pinang juga mengambil kira keselesaan pengunjung.


PENGGEMAR jam tangan mewah di Pulau Pinang dan negeri-negeri di kawasan utara Semenanjung Malaysia kini tidak perlu bersusah payah mencari jam tangan kegemaran mereka di ibu kota lagi.

Ini kerana, pembuat jam tangan mewah Swiss dan penjaga masa rasmi bagi Sukan Olimpik London 2012, Omega, secara rasmi melancarkan butik pertamanya di pulau itu baru-baru ini.

Terletak di tingkat bawah Plaza Gurney dan dikendalikan oleh Swiss Watch Gallery, yang dimiliki oleh peruncit barangan mewah, Kumpulan Valiram, butik ini mempunyai keluasan 274.32 meter persegi dan memiliki kesemua koleksi jam tangan yang terdiri daripada Constellation, Seamaster, Speedmaster dan DeVille.

Selain jam tangan, butik ini menampilkan seni bina dan reka bentuk yang hampir sama dengan butik terbesar berkonsep global di Starhill Gallery Kuala Lumpur.

Ia merupakan hasil ilham arkitek Jepun, Kazuo Adachi bersama rakan sejawatnya, Hiroshi Yamashita dari Design Fresco Inc.

"Istimewanya tentang butik Omega di Pulau Pinang ini adalah ia memberi penghormatan kepada hasil pertukangan para pembuat jam tangan yang sempurna, daripada penelitian yang tepat kepada kualiti, perincian yang halus dan seni bina kontemporari.

"Bahagian luar butik juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia diilhamkan daripada unsur-unsur matahari, air, bumi, dan masa.

"Di sini, pencahayaan terang menyinari produk-produk dalam kaca pameran mewakili sinaran cahaya matahari," ujar David Ponzo, Naib Presiden Omega Asia Tenggara.

Jelas Ponzo, rekaan dalaman butik ini juga mengambil kira keselesaan pengunjung dan lapisan dinding serta lantai juga dipilih mengambil kira cuaca tempatan.

"Untuk memberikan pengalaman membeli-belah dan penghayatan yang lebih pada jenama ini di Pulau Pinang, pengunjung butik Omega akan disambut oleh kakitangan yang pakar dalam produk pembuat jam tangan berusia 161 tahun ini.

"Mereka sedia berkongsi pengetahuan luas mengenai jenama jam tangan yang paling dihormati di dunia.

"Kehadiran Omega di sini merupakan satu peristiwa penting bagi kami. Dengan adanya butik ini, kami berupaya menyediakan khidmat kepada pelanggan kami di kawasan utara.

" Tahap perkhidmatan peribadi yang sedemikian adalah keunikan jenama ini", kata Ponzo lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Swiss Watch Gallery & Kumpulan Valiram, Ashvin Valiram berkata, butik Omega yang pertama di Pulau Pinang ini memberi peluang strategik untuk mengembangkan rangkaian dalam kategori jam tangan mewah di kawasan utara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: