Thursday, March 8, 2012

BIBH buka laluan jadi penyanyi

AKSI Shima (tengah) ketika menghiburkan peminat di SACC Mall, Shah Alam.
AKSI Shima (tengah) ketika menghiburkan peminat di SACC Mall, Shah Alam.
DARIPADA angan-angan, kini impiannya untuk bergelar penyanyi rakaman menjadi nyata. Hakikat itu pula tercapai apabila dia menyertai pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) pada 2010, di Johor Bahru, sempena siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 di negeri terbabit.

Kini, bukan saja dia berada di bawah pengurusan Adam & Co, milik Adam AF, malah pada masa yang sama dia berpeluang mendendangkan lagu ciptaan Edry Abdul Halim daripada KRU.
Baby Shima yang muncul juara peringkat akhir BIBH tahun itu amat bersyukur apabila cita-citanya bergelar penyanyi terlaksana, dengan bantuan akhbar ini.
“Saya tidak menyangka cita-cita menjadi penyanyi tercapai dalam masa yang singkat, ketika saya masih terlalu muda. Lebih menggembirakan apabila saya dapat bekerjasama dengan penyanyi yang amat saya minati, Adam.

“Dulu, saya hanya berangan untuk menjadi penyanyi. Kini, saya bukan saja diasah bakat menjadi penyanyi, malah sibuk dengan latihan menari. Maklumlah, Adam seorang penari yang cukup handal, jadi mestilah dia mahu saya mengikut jejak langkahnya,” katanya gadis berusia 20 tahun ini ketika ditemui pada siri jelajah ABPBH2011, di SACC Mall, baru-baru ini.

Walaupun belum begitu menyerlah, Shima yang menggapai kemenangan dengan mendendangkan lagu Sangkar Emas tidak menafikan dia sudah mula mengumpul peminat sendiri.

“Terima kasih BIBH kerana membuka peluang kepada remaja yang bercita-cita bergelar artis merealisasikan impian mereka. Semua orang tahu, bukan mudah untuk menjadi artis rakaman, sekarang. Apatah lagi dengan saingan daripada bakat yang dicungkil menerusi program realiti.
“Bagi saya, peluang dan rezeki saya bersama BIBH. Saya akan terus menyokong anugerah ini yang mengetengahkan nama saya ke arena seni,” kata bakat dari Johor ini.

Shima turut berharap, kehadirannya dalam industri muzik akan diterima ramai dan dia sendiri mampu kekal dengan imej yang baik.

“Saya juga akan mengikuti siri jelajah ABPBH selama mana terdaya. Bukan apa, saya cukup seronok dan gembira dapat sama-sama meraikan ulang tahun ABPBH ke-25 dan bertemu peminat sekali gus.

“Melihat bakat baru pada BIBH tahun ini pula, ia mengimbau kembali saat saya bertanding dan terpilih sebagai pemenang. Ketika itu, macam-macam perasaan timbul. Saya rasa bakat seni saya dihargai dan berharap pemenang BIBH kali ini juga mendapat peluang yang sama,” katanya yang mempertaruhkan single sulung, Tak Sabar, dan akan muncul bersama klip video lagu itu, tidak lama lagi.

Sementara itu, pencarian bakat baru BIBH kali ini sudah pun menobatkan dua juara peringkat mall yang baru. Jika Muhammad Syafiq Ikhwan Ghazali, 24, muncul pemenang di SACC Mall, Ang Hui San, 20, pula mengungguli pertandingan itu di Berjaya Megamall, Kuantan.

Pencarian bakat BIBH diteruskan pada 10 dan 11 Mac ini, di Dataran Pahlawan, Melaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: