MINAT...Wan Ahmad Johari minat mendorong golongan remaja terbabit dalam aktiviti ATV.
FENOMENA baru menghangatkan lagi sukan permotoran dan pelancongan tanah air apabila All-Terrain Vehicle (ATV) diperkenalkan di pantai peranginan di Terengganu sebagai satu wadah sukan serta hiburan kepada peminatnya.
Kemudahan itu wujud sejak lapan bulan lalu di Pantai Batu Burok serta Teluk Ketapang dan dilihat dapat menarik minat golongan muda untuk merasai pengalaman mengemudi jentera empat roda berkenaan.
Dulu, ATV lebih popular di kawasan litar khas yang dibina, terutama di laluan mencabar dan berbukit, bagi menguji kelasakan pengendali jentera itu mengharungi laluan disediakan.
Bagaimanapun, lambakan jentera berkenaan, terutama dari China, mendorong pengusaha membawa masuk ATV dan mempromosikannya sebagai satu alternatif bagi golongan muda untuk tujuan rekreasi.
Peminat ATV, Nur Adlin Sahira Zulkifli, 19, berkata bermula daripada pengalaman pertama mencubanya lapan bulan lalu, dia kini kian meminati ATV memandangkan jentera itu lebih selamat digunakan.
“Setiap minggu, dua atau tiga kali saya menyewa ATV di Pantai Batu Burok dan dengan cara rekreasi menggunakan jentera itu dapat menghilangkan kepenatan serta melepaskan tekanan kerja.
“Walaupun dilihat mudah mengemudi, teknik betul perlu dipelajari bagi mengemudi jentera itu kerana ia adalah peralatan berenjin,” katanya.
Menurutnya, ada yang berasakan sukan dan aktiviti itu tidak sesuai bagi wanita, namun tanggapan itu tidak tepat kerana ATV mudah dikendalikan semua golongan, termasuk kanak-kanak, tetapi harus memahirkan mereka sebelum dibenarkan mengendalikan secara berseorangan.
Katanya, aktiviti itu boleh dilakukan secara berkeluarga bagi yang berkemampuan dan ia pasti mengeratkan silaturahim antara mereka dan mewujudkan masyarakat penyayang.
Bagi Nor Aznina Safina Azhar, 15, dengan adanya kemudahan sewaan ATV, ia sedikit sebanyak dapat mengelak, terutama remaja, melakukan perbuatan tidak berfaedah seperti merempit.
“Dengan menggunakan ATV, ‘kaki’ rempit dapat melepaskan geram di tempat dibenarkan dan bukan di jalanan yang jelas membahayakan nyawa.
“Sukan dan riadah seperti ini dapat menenangkan jiwa, terutama golongan muda yang sering berdepan cabaran seharian, dan ia satu alternatif baru bagi remaja di negeri ini untuk berhibur.
“Dulu memang sukar menunggang ATV, namun kemudahan yang tersedia dengan kadar sewaan berpatutan membolehkan saya turut berpeluang mengemudi jentera itu,” katanya.
Menurutnya, mengendalikan ATV memerlukan fokus tinggi dan ia bersesuaian dengan dirinya selaku pelajar yang menuntut fokus setiap hari dalam pembelajaran.
Katanya, mengendalikan ATV dapat menghilangkan tekanan pelajaran dan membantunya mencari ketenangan, terutama ketika peperiksaan, selain banyak membantunya menumpukan perhatian serta fokus dalam melakukan sesuatu perkara.
Kakitangan swasta, Wan Ahmad Johari Adli, 27, berkata kewujudan ATV yang disewakan di Pantai Batu Burok sememangnya sesuai memandangkan kawasan itu lokasi riadah bagi pelbagai lapisan masyarakat.
“Jika bermain ATV di litar khas di lokasi lain, peminat perlu membelanjakan ratusan ringgit, termasuk memakan masa perjalanan panjang, namun di Pantai Batu Burok semuanya menjimatkan.
“Deruman enjin dan keligatan roda berpusing di atas pasir pantai memberi kepuasan kepada saya, selain dapat menggunakan jentera itu bagi tujuan beriadah dengan menunggangnya sepanjang pantai.
“Suasana ini sungguh mendamaikan, terutama bagi yang berkeluarga, kerana menyelusuri pantai menggunakan ATV satu pengalaman indah yang boleh dirasai di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, fenomena ATV yang melanda negeri ini bukan saja bertujuan untuk riadah dan rekreasi, malah digunakan individu di kampung dalam memudahkan urusan kerja mereka seperti di ladang serta kebun.
Mohd Firdaus Johary, 16, pula berkata, ketahanan fizikal dan mental sangat perlu bagi mengendalikan jentera itu berikutan ia bukan digunakan pada jalan biasa dan kaedah tertentu diperlukan bagi menggerakkannya di kawasan berpasir seperti pantai.
Menurutnya, aktiviti sukan seperti itu perlu diperluaskan kepada golongan muda bagi mengelak mereka terbabit dengan gejala tidak bermanfaat dan berfaedah yang boleh menjurus kepada perilaku jenayah.
“Sebelum ini saya menunggang ATV di Taman Tema Sunway Lagoon, namun adanya kemudahan ini di pantai peranginan memudahkan orang ramai untuk turut sama merasainya.
“Kebiasaan kita hanya melihat individu beraksi menunggang ATV di kaca televisyen, namun situasi itu berubah apabila ATV mula dikomersial di kawasan pelancongan. Sememangnya pantai adalah lokasi terbaik bermain ATV memandangkan bentuk muka bumi berpasir dan sesuai dengan tayar jentera berkenaan.
“Bagaimanapun, aspek keselamatan perlu dititik berat memandangkan ATV adalah jentera berenjin dan boleh mewujudkan pelbagai risiko jika tidak dikendalikan dengan sempurna,” katanya.
Menurutnya, ATV adalah terapi minda yang baik dan mampu memberi kesegaran badan selepas beraksi dengan fokus tinggi bagi mengelak berlakunya kemalangan.
PROFIL 1:
NAMA: Nor Aznina Safina Azhar
UMUR: 15 tahun
ASAL: Manir, Kuala Terengganu
STATUS: Pelajar
PROFIL 2:
NAMA: Nur Adlin Sahira Zulkifli
UMUR: 19 tahun
ASAL: Batu Burok, Kuala Terengganu
KERJAYA: Kakitangan swasta
PROFIL 3:
NAMA: Wan Ahmad Johari Adli
UMUR: 27 tahun
ASAL: Kampung Kepong, Kuala Terengganu
KERJAYA: Kakitangan swasta
PROFIL 4:
NAMA: Mohd Firdaus Johary
UMUR: 16 tahun
ASAL: Kampung Panji, Kelantan
STATUS: Pelajar
INFO:
NAMA KENDERAAN: All-Terrain Vehicle (ATV) berkuasa 125cc dan 110cc
ASAL: Diimport dari China
SERVIS: Boleh disewa dengan kadar RM15 untuk 15 minit di Pantai Batu Burok dan Pantai Teluk Ketapang
SOKONGAN: Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu dan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Terengganu
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: