Monday, March 5, 2012

Anak dianiaya berterusan

BERI SOKONGAN...ibu bapa seharusnya menjadi pendorong terbaik bagi anak untuk  membentuk mereka menjadi insan berguna, bukan terus memberi tekanan untuk mencapai keputusan cemerlang.
BERI SOKONGAN...ibu bapa seharusnya menjadi pendorong terbaik bagi anak untuk membentuk mereka menjadi insan berguna, bukan terus memberi tekanan untuk mencapai keputusan cemerlang.

DUA tahun lalu, Chris Bell, 13, dikenali sebagai pelajar ceria, mudah bergaul dan cemerlang dalam akademik, sekali gus membanggakan ibu bapanya.

Malangnya, situasi itu kini bertukar 360 darjah apabila dia dikesan menghadapi kemurungan melampau akibat tekanan kerana terlalu mengharapkan kejayaan dalam akademik hingga dinafikan hak mengecapi zaman kanak-kanaknya.

  • Foto

    LEBIH PENTING...pendidikan berorentasikan akademik dilihat lebih penting daripada aspek lain hingga menjadikan pelajar sebagai mangsa keadaan.

  • Foto

    TERTEKAN...pelajar sentiasa berada dalam tekanan kerana mahu mencapai keinginan ibu bapa.

  • Foto

    MANA HAK KAMI...ibu bapa menggunakan kuasa veto sepenuhnya kepada anak supaya menurut kehendak mereka.

  • Foto

    RAPAT...hubungan mesra dengan ibu bapa boleh mengurangkan tekanan anak, sekali gus memberi dorongan positif untuk lebih berjaya.

  • Foto

    APA AKAN JADI...fikirkanlah bagaimana perasaan anak apabila sentiasa diberi tekanan semata-mata untuk memuaskan hati sendiri.

  • Foto

    MINAT...setiap pelajar mempunyai minat tersendiri, justeru biarkan mereka meneroka dan membina kreativiti sendiri.

  • Foto

    INTERAKSI...ibu bapa perlu sentiasa berinteraksi dengan anak dan bijak mencari mekanisme pendidikan supaya anak tidak berasa bosan untuk belajar.

Tekanan demi tekanan terutama daripada ibu bapanya yang mahukan dia sentiasa cemerlang menyebabkan Chris tidak mampu bertahan dan masa depannya terumbang-ambing.

Keengganan ibu bapa bertolak ansur dalam pencapaian akademik anak menimbulkan isu sensasi di kalangan pejuang hak kemanusiaan dan menyifatkannya seperti ‘membunuh’ anak sendiri.


Biarpun mempunyai alasan kukuh, sikap ibu bapa yang memaksa anak mengikut setiap telunjuk serta perancangan sendiri sukar diterima kerana mereka juga berhak menikmati hidup sendiri dengan bebas.


“Ini satu bentuk penganiayaan halus yang kini menjadi budaya baru ibu bapa moden, namun sukar diterima. Ibu bapa yang menggunakan kuasa veto untuk menentukan hala tuju masa depan anak seharusnya malu pada diri sendiri.

“Atas alasan apa pun, mereka tidak berhak menyekat anak menjadi diri sendiri.
Anak adalah individu yang berhak menikmati hidup dan melakukan perkara lain.

“Mereka bukan robot yang boleh diprogramkan sesuka hati. Ini sangat keterlaluan,” kata Presiden Institut Pendidikan Kemanusiaan British, Zoe Weil ketika mengulas kebimbangan banyak pihak mengenai sikap ibu bapa yang semakin kritikal menentukan masa depan anak.

Beliau berkata, ibu bapa terlalu dihantui perasaan bimbang mengenai percaturan masa depan anak, justeru sanggup melakukan apa saja bagi memastikan keinginan mereka tercapai.

“Masalahnya, belum tentu apa dikehendaki ibu bapa itu sama seperti keinginan anak. Mereka melakukannya seolah-olah anak bersetuju sepenuhnya tanpa perbincangan.

“Pendidikan dengan paksaan sukar berjaya, malah berpotensi menimbulkan risiko lain lebih berbahaya jika tidak ditangani segera,” katanya.

Pelajar di negara Asia antara dikenal pasti menjadi mangsa ketaksuban ibu bapa terhadap keputusan berorientasikan akademik.

Kajian di China yang dilakukan Pusat Kesihatan Antarabangsa dan Pembangunan British dengan kerjasama Zhejiang University mendapati kebanyakan pelajar sebenarnya menderita dalam diam kerana menjadi mangsa ‘penderaan’ emosi ibu bapa.

Lebih malang, suara atau pendapat mereka sukar diterima dengan alasan mereka tidak dapat membuat keputusan tepat untuk diri sendiri.

Antara faktor utama yang mendorong ibu bapa bertindak demikian kerana persaingan akademik yang dinilai melalui taraf pencapaian antara pelajar.

Pelajar yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang tiada masa depan, selain memalukan ibu bapa yang dianggap gagal mendidik anak.

Weil berkata, hasil kajian itu ternyata sangat membimbangkan kerana ibu bapa tidak melihat aspek lain yang penting terhadap pembangunan emosi, minda dan fizikal anak.

“Mereka meletakkan pencapaian akademik sebagai satu-satunya aset untuk berjaya, seolah-olah tiada yang lain untuk membolehkan anak mereka menjadi manusia berguna.

“Anggapan ini amat berbahaya serta kuno. Akibatnya, pelajar melihat dunia ini seperti alam maya dari perspektif orang dewasa, bukan kanak-kanak yang sedang membesar,” katanya yang memberi amaran, tekanan ibu bapa boleh menghakis kesihatan pelajar sedikit demi sedikit.

“Tekanan psikologi akan memuncakkan lagi masalah kesihatan mental pelajar.
Mereka bukan saja ‘didera’ di rumah, malah di sekolah.

“Dapatkah anda bayangkan bagaimana terseksanya pelajar ini, di mana ruang untuk bernafas?” soalnya.

Penganalisis pendidikan yang menjalankan kajian di China dan Barat, Yong Zhao berkata, sikap ibu bapa yang suka membandingkan anak dengan orang lain juga menjadi ‘pendorong’ mereka bertindak di luar batasan.

“Tradisi di negara Asia ialah persaingan dan perbandingan. Ibu bapa dan masyarakat mahu menunjukkan anak mereka paling hebat berbanding orang lain.

“Mereka meletakkan garis sempadan serta kriteria untuk dipatuhi dan anak tidak boleh gagal. Yang dilakukan bukan untuk anak tapi kepuasan ibu bapa,” katanya.

Tekanan itu juga, akuinya, akan menjadikan pelajar pasif dan mengalihkan perhatian kepada teknologi seperti permainan video untuk melepaskan tekanan, malah hingga tahap membunuh diri.

“Pendidikan masa kini bukan lagi mengenai pembangunan holistik tapi peperiksaan, keputusan, mendominasi kelas selain persaingan kurang sihat antara pelajar.

“Ibu bapa pula mahukan semuanya serba sempurna hingga terlupa pelajar juga manusia biasa yang boleh gagal atau melakukan kesalahan.

“Jelas difahami bahawa ibu bapa rela ‘kehilangan’ anak daripada dimalukan dengan kegagalan akademik,” katanya.

Kaunselor di Ohio State University , Molly Clark berkata, ibu bapa perlu mempunyai sikap percaya kepada kemampuan anak dan membiarkan mereka meneroka persekitaran dengan cara masing-masing.

Menurutnya, setiap pelajar mempunyai daya kreativiti, minat serta kecenderungan sendiri yang tidak boleh dimanipulasi atau ditentukan orang lain.

“Kekangan, tekanan dan larangan keterlaluan tidak akan membantu mereka belajar, berkembang serta meneroka persekitaran sedangkan aspek itu penting dalam pembangunan diri individu.

“Sikap terlalu melindungi anak juga akan memberi kesan buruk jangka panjang dan lebih menyebabkan mereka bermasalah.

“Kejayaan seseorang bukan sekadar dinilai melalui pencapaian akademik kerana lebih penting apabila pelajar gembira dengan apa dilakukan. Akademik bukan syarat utama untuk cemerlang dan berjaya dalam hidup,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: