Siapa tidak mengenali aktres legenda bernama Latifah Omar. Bukan sahaja memiliki rupa paras jelita, malah setiap lakonannya amat berkesan. Lihat sahajalah lakonannya menerusi filem, Bawang Putih Bawang Merah, wataknya sebagai Putih mampu menitiskan air mata penonton.
Penghayatan dalam lakonannya sangat dramatik dan terus diingati hingga ke hari ini. Mempunyai daya tarikan yang tersendiri, Latifah, 73, berjaya berada sebaris dengan nama-nama seniwati yang popular seperti Datuk Sarimah Ibrahim, Roseyatimah, Saloma dan Mariani.
Walaupun penglibatannya dalam industri hanyalah seketika, namun namanya masih kekal diingati sehingga kini. Enggan muncul menghiasi kaca televisyen, Latifah lebih selesa menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama anak-anak dan cucu.
“Lakonan terakhir saya ialah filem, Hati Batu pada 1973. Ketika itu, saya membuat keputusan untuk berhenti berlakon kerana memiliki anak kecil. Jika saya terus berlakon, saya tidak dapat beri perhatian penuh kepada anak.
“Memang niat saya ketika itu bukanlah untuk berhenti terus, tetapi bila bertahun-tahun tidak berlakon, saya jadi kekok untuk memulakannya semula. Jadi, saya ambil keputusan untuk terus bersara.
“Tidak dinafikan, saya menerima banyak tawaran berlakon filem dan drama, tapi saya tolak. Saya dah tertutup hati untuk berlakon semula dan lebih selesa berada di rumah, melayan karenah cucu-cucu,” katanya yang mengakui tidak mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.
Bermula pelakon tambahan
Bercerita mengenai penglibatan awalnya, Latifah memberitahu dia memulakan karier sebagai pelakon tambahan di samping bintang tersohor, Norsiah Yem dan Shariff Medan, terbitan Kris Film Productions. Tidak dapat memastikan judul filem pertama lakonannya, Latifah berkata, itulah permulaannya dalam bidang lakonan.
Menurut Latifah, ketika itu, dia berhijrah ke ibu kota kerana mengikut ibunya yang mendapat tawaran berlakon sebagai pelakon tambahan di, Kris Film Productions, pada 1948.
“Saya tidak sangka saya boleh berlakon. Selepas berlakon dalam filem Panggilan Pulau, terbitan Studio Jalan Ampas, saya terus mendapat tawaran seterusnya untuk membintangi filem lain seperti Merana, Menyerah dan Serangan Orang Minyak.
“Menerusi lakonan pertama dan kedua, saya diberi peluang berlakon di samping Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Dalam filem Merana, saya baru sahaja berusia 17 tahun, tetapi harus menjiwai watak seorang wanita berkahwin.
“Selepas bekerjasama dengan Malay Film Production, saya kemudiannya beralih angin ke produksi, Cathay Keris. Saya mula dikenali setelah bergandingan bersama Allahyarham Nordin Ahmad menerusi beberapa filem seperti Raden Mas, Hang Jebat, Gurindam Jiwa, Lanchang Kuning dan Bawang Puteh Bawang Merah,” katanya yang terkenal sebagai pelakon air mata.
Katanya yang mempunyai hubungan baik dengan Saloma dan Mariani, apabila Cathay Keris diisytiharkan tutup pada 1972, dia mula berasa sukar untuk meneruskan karier sebagai pelakon.
“Semua pelakon yang bernaung di bawah label Cathay Keris mula bimbang kerana kami hanya berlakon secara kontrak untuk satu-satu filem. Jadi, mengambil langkah mudah, saya berhenti berlakon. Lagipun, saya mahu uruskan hal keluarga. Ketika itu, ramai rakan-rakan artis mula berundur, namun disebabkan minat yang mendalam dalam bidang lakonan, mereka muncul semula untuk meneruskan kerjaya,” katanya.
Hampir maut kerana Lanchang Kuning
Berbicara dengan seniwati yang terkenal dengan tahi lalat yang manis di bibir ini, terdapat banyak perkara yang sukar diingatinya. Namun, sepanjang bergelar anak seni, Latifah mengakui sukar melupakan peristiwa pahit ketika menjayakan filem, Lanchang Kuning, bersama Nordin Ahmad.
Mana tidaknya, ketika itu dia merasakan ajal sudah tiba apabila 'tali lanchang' itu tiba-tiba terjatuh ketika dia siap diikat untuk babak ngeri itu.
“Saat-saat cemas itu berlaku setelah tangan dan kaki saya siap diikat untuk adegan dalam Lanchang Kuning itu. Saya amat terkejut dan tidak tahu bagaimana tali itu boleh terlepas dari tangan krew.
“Mujurlah saya sempat diselamatkan daripada terkena mata lancang yang tajam itu. Sehingga kini, saya tidak boleh lupa kerana ia sangat mencemaskan. Jika diingatkan balik, saya rasa peristiwa itu baru sahaja berlaku,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: