Monday, November 7, 2011

Teruja kembali ke teater


EMPAT pelakon wanita yang mewarnai teater Badai Semalam iaitu (dari kiri) Jasmin Hamid, Umie Aida, Erra Fazira dan Ziela Jalil.


SEWAKTU menghadiri latihan pementasan teater Badai Semalam di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, baru-baru ini, mata ini dengan pantas ternampak kelibat pelakon ini di salah satu tempat duduk di dalam panggung itu.

Pada sangkaan penulis, barangkali kehadiran Jasmin Hamid ketika itu adalah untuk memberi sokongan kepada dua sahabatnya, Datin Umie Aida dan Erra Fazira pada sesi latihan itu.

Namun apabila diberitahu oleh pihak IB bahawa Jasmin merupakan salah seorang pelakon yang membintangi Badai Semalam, ia adalah sesuatu yang agak mengejutkan.

Barangkali ia adalah strategi IB untuk memberikan kejutan kepada audiens apabila Badai Semalam dipentaskan mulai 11 November nanti.

Tidak melepaskan peluang itu, penulis terus menghampiri Jasmin lalu bertanyakan kepadanya tentang tawaran membintangi Badai Semalam.

Sambil melemparkan senyuman manis dan ramah menjawab setiap soalan yang diajukan, Jasmin mengakui tawaran yang diterimanya adalah disaat-saat akhir.

"Salah satu sebab mengapa saya menerimanya adalah kerana Umie yang mahukan saya membawakan watak Dora selepas pelakon asalnya tidak dapat berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu.

"Memikirkan persahabatan saya dengan Umie yang terjalin sejak sekian lama, jadi adalah menjadi satu keberatan buat saya untuk menolak peluang ini.

"Apatah lagi, saya sendiri sudah lama tidak membintangi teater. Jadi, Badai Semalam ini boleh dikatakan sebagai lepas gian saya untuk teater," katanya sambil ketawa kecil.

Kali terakhir, Jasmin membintangi pementasan teater Anugerah sekitar lima tahun lalu arahan Siti Rohayah Attan.

Selain Jasmin, teater yang diangkat daripada novel Khadijah Hashim itu dibintangi oleh Erra Fazira sebagai Mazni, Aaron Aziz (Karim), Umie Aida (Rohana) dan Fizz Fairuz (Zaki).

Turut membintangi Badai Semalam termasuklah Iqbal Taufik sebagai Haris dan Emelda Rosmila (Mahani).

Dalam pementasan yang diarahkan oleh Khairunazwan Rodzi itu, aktres berusia 37 tahun itu membawakan watak Dora, seorang wanita yang bekerja di sebuah kelab malam dan menjadi teman di kala Karim mahu mencari keseronokan.

Menyambung bicara, Jasmin yang pernah membintangi filem Boss dan Kanta Serigala ini memberitahu, dia tidak dapat menolak tekanan yang diterimanya untuk Badai Semalam.

Manakan tidak kata Jasmin, sementelah mendapat tawaran disaat-saat akhir, dia perlu fokus kepada nyanyian, tarian dan lakonan serentak.

"Walaupun watak Dora bersifat antagonis dan watak yang saya sifatkan cukup sinonim dengan saya, tetapi saya perlu memastikan ia berjalan dengan lancar.

"Meskipun kemunculan saya hanyalah sekadar untuk tiga adegan, tetapi saya mahu watak Dora itu mampu meninggalkan impak kepada audiens kelak.

"Lalu, saya perlu mengikuti latihan intensif dan bekerja keras untuk menghidupkan watak Dora ini. Maklumlah, yang lain semuanya sudah ke depan tetapi saya baru hendak bermula," jelas Jasmin berseloroh sambil memberitahu kali terakhir membintangi teater muzikal Si Tanggang pada tahun 2000.

Dalam masa yang sama, pelakon versatil ini turut melahirkan rasa bertuah dan terharu apabila dapat beraksi di IB .

Teater yang diterbitkan dengan kerjasama Frensis Sdn. Bhd., ini juga telah memilih Kumpulan Utusan sebagai media rasmi serta stesen radio nombor satu negara, Sinar FM sebagai stesen rasmi dalam mempromosikan Badai Semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: