Thursday, November 17, 2011

Skuad karate tetap bangga


ARIVALAGAN (kanan) menyampaikan amanat terakhir kepada barisan atlet karate negara sebaik sahaja menjejakkan kaki di KLIA kelmarin.


MESKIPUN sekadar membawa pulang empat pingat emas, pencapaian skuad karate negara pada Sukan SEA 2011 masih boleh dibanggakan.

Jika tidak disebabkan mutu pengadilan yang dianggap ‘berat sebelah’, atlet negara sudah pasti mampu menuai lebih banyak pingat emas dari bumi Indonesia.

Ketua jurulatih, P. Arivalagan berkata, apa yang paling penting, anak-anak buahnya telah mencapai sasaran yang ditetapkan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Yang pasti, sasaran yang diberikan berjaya dicapai.

“Perjuangan kami pada temasya kali ini telah berakhir dan kami akan melakukan post-mortem bagi mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki,” kata Arivalagan yang ditemui Kosmo! sebaik tiba di Lapa- ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Begitupun, Arivalagan tidak dapat menyembunyikan kekecewaan kerana secara peribadi, beliau meletakkan sasaran untuk menyumbang enam emas buat kontinjen Malaysia.

“Kami terlepas dua atau tiga pingat emas dan ia telah membantutkan usaha kami untuk membawa pulang lebih daripada empat pingat seperti mana yang diletakkan sebagai sasaran,” jelasnya.

Ditanya sama ada beliau menyesal kerana meletakkan sasaran yang tinggi, Arivalagan berkata: “Bukan sahaja karate tetapi sudah menjadi lumrah dalam arena sukan. Tidak semua yang kita hajati akan tercapai.

“Sebagai jurulatih, saya perlu ada sasaran tersendiri dan ia dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet.

“Sebagai contoh, ketika peperiksaan, sudah pasti kita sasarkan untuk mendapat markah seratus peratus tetapi akhirnya hanya memperoleh 80 peratus sahaja,” ujar Arivalagan.

Pada temasya dwitahunan itu, pingat emas pertama disumbangkan oleh Shaharudin Jamaludin dalam kategori Kumite bawah 75 kilogram (kg).

Tiga lagi pingat emas berjaya dituai menerusi Loganesha Rao dalam kategori Kumite bawah 55kg lelaki, K. Teagarajan (Kumite bawah 84kg lelaki), manakala G. Yamani menepati ramalan bagi saingan Kumite bawah 61kg wanita.

Selain empat pingat emas, anak-anak buah Arivalagan turut membawa pulang dua pingat perak dan lapan gangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: