Thursday, November 3, 2011

Sehari di kediaman PM


Para peserta Program Anak Angkat Menteri Besar Perak bergambar kenangan di hadapan bangunan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.


PERJALANAN selama hampir tiga jam dari Ipoh ke Putrajaya bagi 73 kanak-kanak di bawah Program Anak Angkat Menteri Besar Perak tidak begitu dirasai.

Ia lantaran keterujaan kumpulan kanak-kanak ini untuk menatap dan menjejakkan kaki buat pertama kali di pusat pentadbiran negara itu.

Peluang menjejakkan kaki ke Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana merupakan pengalaman paling manis bagi mereka sepanjang empat hari lawatan ke Putrajaya dan Kuala Lumpur bermula 28 hingga 31 Oktober lalu.

Akma Amira Mohd. Zaini, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Datuk Nan Kaya, Tanjung Malim, Perak, misalnya cukup gembira kerana itu merupakan kali pertama dia ke Putrajaya.

"Saya berasa bertuah kerana terpilih menjadi anak angkat menteri besar sekali gus diberi peluang melawat ke tempat-tempat begini," katanya.

Selain itu, pengalaman melawat ke destinasi penting negara juga menjadi satu kenangan terindah baginya.

Tidak terkecuali bagi Ng En Qi, pelajar tingkatan satu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pei Yuan, Kampar, Perak.

En Qi berkata, sejak menjadi anak angkat kepada Menteri Besar Perak dia telah berpeluang melawat ke Pulau Pangkor dan Kuala Lumpur pula baru kali pertama dijejakinya.

"Saya memang seronok terpilih menyertai program ini. Bukan setakat berjalan ketika cuti sekolah, saya juga mendapat bantuan bernilai RM50 sebulan untuk tujuan pelajaran.

"Menyertai rombongan seperti ini menambah rakan, ilmu pengetahuan dan berikan keceriaan pada saya," ujar anak sulung daripada tiga beradik ini.

Bagi Tuah Rezki Putri Uda, 12, dari Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi, Perak Tengah pula berkata, pengalaman mengikuti lawatan ini akan dikongsi bersama ibu bapa dan adik-beradiknya nanti.

Selain Putrajaya, para pelajar terbabit turut dibawa melawat Petrosains, Muzium Negara dan Menara Berkembar Petronas.

Paling istimewa apabila satu koc LRT disediakan khas untuk anak-anak itu dari KL Sentral ke KLCC, semuanya untuk memberikan mereka pengalaman baru dan keseronokan seperti yang dikecapi oleh anak-anak di bandar.

Program lawatan mereka memang padat malah sebelum bertolak pulang pada hari keempat mereka sempat singgah ke Angkasapuri untuk melihat sendiri bagaimana caranya sebuah stesen penyiaran beroperasi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Datuk Zainal Abidin Omar berkata, sebagai peserta Program Anak Angkat Menteri Besar Perak mereka seharusnya menjaga nama baik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tidak kira di mana berada.

"Bukan sekadar menjaga nama baik menteri besar tetapi juga untuk diri mereka sendiri. Ini adalah tanggungjawab sebagai manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Motivasi dan Lawatan Sambil Belajar Anak Angkat Menteri Besar Perak 2011 di Dewan Utama Hotel Grand Continental Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya lagi, masa muda mereka juga harus diisi dengan aktiviti bermanfaat.

Lawatan dan motivasi

Ujar beliau, bukan semua orang berpeluang melawat kediaman perdana menteri dan kesempatan anak-anak ini menjejakkan kaki ke kediaman pemimpin nombor satu negara merupakan peluang keemasan.

Selain aktiviti lawatan, anak-anak ini juga diberikan motivasi untuk memajukan diri dalam pelajaran sekali gus menjadi insan yang memiliki sahsiah diri yang tinggi.

"Kenangan ini pasti akan kekal segar di ingatan anak-anak ini," katanya.

Katanya, selain mencari pengalaman lawatan itu juga boleh dijadikan ilmu untuk kegunaan di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: