Wednesday, November 2, 2011

Segar dan baharu untuk tv9


IDOLA Kecil akan diteruskan untuk tahun keempat


SELEPAS mencatat rekod sebagai stesen nombor dua negara sepanjang tahun 2011 seperti mana yang dikeluarkan oleh AC Nielsen, TV9 tidak mahu terus duduk diam dan menikmati kejayaan tersebut.

Sebaliknya, stesen televisyen yang terkenal dengan kata pengenalan, Di Hatiku itu mahu memberikan santapan terbaik untuk penonton setia mereka menerusi pelbagai program menarik sepanjang tahun 2012.

Sudah pasti, TV9 sudah pun mengatur strategi terbaik bagi memastikan mereka akan terus mendekatkan diri dengan penonton setia mereka khususnya golongan remaja dari 15 hingga 29 tahun.

“Ternyata percubaan kami dalam memperbanyakkan program untuk remaja sepanjang tahun 2011 telah membuahkan hasil.

“Bukan hanya menerusi program televisyen, tetapi TV9 sendiri telah turun padang dengan menganjurkan pelbagai acara padang yang melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi seperti Ekspresi Remaja, Jam Session dan Gig TV9.

“Lalu, kami sudah bersedia untuk memberikan lebih banyak program menarik khusus untuk golongan ini selain mengekalkan kandungan sedia ada dengan pendekatan baharu dan segar,” jelas Pengurus Besar Kumpulan Penjenamaan TV9, Sherina Mohamed Nordin penuh optimis dalam satu pertemuan dengan pihak media di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hebat

Untuk tahun 2011, kata Sherina, antara program yang mendapat tempat di kalangan penonton remaja termasuklah Remaja, Remaja Ekstrem, Hujan di Paris dan Bunkface di Hong Kong.

Bagi meneruskan kesinambungan kejayaan itu, Sherina menjelaskan TV9 akan tampil dengan dua program baru iaitu Soundcheck dan program realiti, Versus (VS).

“Apa yang boleh kami katakan dua program ini merupakan yang terbesar untuk tahun 2012. Rancangan VS misalnya, merupakan program pencarian bakat baru secara berkumpulan yang kami percaya akan mendapat perhatian kelak.

“Untuk VS, kami akan bekerjasama dengan stesen radio Hot FM dan menariknya tentang rancangan ini apabila kandungan untuk televisyen dan radio adalah berbeza.

“Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada penonton dan pendengar radio dapat menikmati program ini dengan lebih meluas,” jelas Sherina lagi.

Bagi Soundcheck pula, ia diinspirasikan daripada program Live From Abbey Road yang akan menampilkan temu bual bersama artis tempatan yang baru dan lama selain persembahan mini daripada mereka.

Kekal

Sementara itu, Sherina turut mengumumkan program realiti Idola Kecil juga akan diteruskan untuk musim keempat kerana ia terus mendapat tempat di kalangan masyarakat terutama ibu bapa.

Namun begitu, Akademi Al-Quran (AQ) yang sudah lima musim bersiaran di TV9 nampaknya akan direhatkan buat sementara waktu.

“Kami fikir adalah lebih baik untuk AQ dianjurkan selang setahun agar kami sendiri dapat memperbaiki dan memantapkan lagi kandungannya,” terangnya lagi.

Menyedari persaingan yang harus dihadapi daripada stesen televisyen lain, TV9 mengorak setapak langkah lagi dengan memperkenalkan program bual bicara bola sepak, Gila Bola.

Menampilkan Seelan Paul dan penyampai radio Hot FM, Kieran sebagai pengacaranya, Gila Bola bakal menjadi program bual bicara sukan percuma pertama yang ditayangkan pada waktu perdana.

Untuk tahun 2012, rezeki juga terus berpihak kepada penyampai radio dan pengacara popular, Faizal Ismail apabila rancangan bual bicaranya, Apa Saja FBI akan kembali untuk tahun kedua.

“Selain Faizal, kami juga akan menampilkan Awal Ashaari dalam program bual bicaranya yang pertama. Namun, buat masa ini, kami tidak boleh lagi mendedahkan konsep rancangan itu.

“Ternyata, Awal begitu teruja sewaktu kami melamarnya untuk mengendalikan programnya sendiri. Kami memilihnya kerana percaya dengan kredibilitinya sebagai seorang pengacara,” kata Sherina yang memberitahu rancangan hiburan seperti Hip TV, Galaksi dan Chopp!! akan terus dikekalkan.

Sebagai pembaharuan untuk TV9 selain mahu menarik perhatian remaja, stesen itu juga akan menayangkan dua siri drama Hollywood iaitu Teen Wolf dan The Nine Lives of Chloe King.

Mantap

Dalam masa yang sama, kata Sherina, TV9 tidak akan sama sekali mengabaikan kandungan untuk slot Raudhah yang menampilkan rancangan berbentuk keagamaan kerana ia mempunyai kelompok penonton tersendiri.

Jelasnya, program-program seperti Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik & Al-Quran akan dikekalkan malah kandungan mereka juga dimantapkan.

“Malah, kami sendiri mempunyai perancangan untuk menambah sebuah lagi program dalam siri Tanyalah. Insya-Allah dan jika semuanya berjalan lancar, ia akan menampilkan seorang tokoh agama tersohor,” kata Sherina yang mengunci rapat mulutnya ketika diminta untuk memberitahu siapakah tokoh agama yang dimaksudkan.

Peluang

Tidak melupakan penggemar setia drama tempatan, tahun 2012 bakal menyaksikan pelbagai drama hebat yang akan menghiasi saluran yang juga boleh ditonton menerusi saluran 119, Astro itu.

Untuk slot Aurora dan Ratu, ia bakal diisi dengan drama bersiri menarik yang pastinya akan menggamit penonton untuk menontonnya kelak. Semuanya adalah untuk menguatkan lagi jenama slot tayangan pada pukul 8.30 malam itu.

Antara yang akan menjadi perhatian adalah drama bersiri Cinta Jangan Pergi arahan Kabir Bhatia manakala skripnya pula oleh Mira Mustaffa.

Bagaikan mahu mengulangi fenomena Nur Kasih, Cinta Jangan Pergi sekali lagi menggandingkan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sebagai teraju utama.

“Bukan itu sahaja, kami juga akan bekerjasama dengan penerbit dan pengarah muda yang mempunyai minat mendalam terhadap dunia pengarahan serta penerbitan.

“Jangan terkejut kalau saya katakan ada di antara mereka merupakan nama-nama popular dalam bidang lakonan yang bakal menyaksikan mereka bertukar portfolio selepas ini.

“Kami memang mahu memberi peluang kepada mereka dan ada juga yang mahu bekerjasama dengan kami,” ujar Sherina yang memberitahu drama bersiri seperti Bulan, Bintang dan Kita serta Pulau juga akan ditayangkan nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: