Wednesday, November 2, 2011

Rompak bank silih berganti

PERIKSA...anggota unit forensik mencari bukti di lokasi kejadian.
PERIKSA...anggota unit forensik mencari bukti di lokasi kejadian.

KUALA LUMPUR: Dua lelaki bersenjatakan parang dan pistol bertindak nekad merompak dua bank berasingan pada jarak lapan kilometer dalam tempoh lebih lima jam membabitkan kerugian lebih RM69,000, semalam.

Dalam kejadian pertama jam 10 pagi di Jalan Metro Pudu, di sini, dua lelaki terbabit melarikan wang tunai RM44,000.


Menurut sumber, dua lelaki bertopi keledar itu melulu masuk ke dalam bank berkenaan sebelum seorang daripada mereka ke kaunter dan mengacukan parang ke arah seorang wanita berusia 29 tahun yang juga pengurus di bank berkenaan.

“Rakan suspek yang mengekori suspek pertama mengacukan pistol ke arah seorang lagi pekerja dan mengarahkan mereka memberikan kerjasama.


“Mereka mengarahkan pengurus bank terbabit memasukkan wang ke dalam beg dibawa mereka,” katanya.


Sumber berkata, ketika kejadian terdapat lima pekerja bank di premis berkenaan termasuk seorang pengawal keselamatan.

“Dua suspek dilapor hanya mengambil masa kurang tiga minit sebelum melarikan diri,” katanya.


Pengurus bank terbabit membuat laporan di Balai Polis Pudu, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, dua suspek terbabit melakukan satu lagi rompakan di sebuah bank di Taman Saujana Cheras, di sini lima jam kemudian.


Dalam kejadian kedua kira-kira jam 3.45 petang itu, kumpulan terbabit berjaya melarikan lebih RM25,000.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ditemui di lokasi kejadian, terdapat lima hingga enam pelanggan termasuk pekerja bank dalam premis itu.


Beliau berkata, sebaik masuk ke bank berkenaan, suspek yang bersendirian meluru ke arah kaunter.


“Suspek melompat ke dalam kaunter berkenaan dan mengacukan pistol ke arah seorang pekerja. Dia (suspek) mengarahkan pekerja bank itu menyerahkan wang kepadanya dengan memasukkan wang ke dalam sebuah beg dibawa sebelum melarikan diri,” katanya.


Menurutnya, biarpun suspek dikejar beberapa pengawal keselamatan, namun suspek meloloskan diri.


Siasatan mengesyaki rakan suspek menunggu di kawasan berhampiran bank memudahkannya melarikan diri.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa yang dihubungi berkata, polis tidak menolak kemungkinan dua bank dirompak kumpulan perompak sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: