Wednesday, November 2, 2011

Projek RM10b sudah dilaksana

PERJELAS...Idris memberi penerangan pada taklimat ETP di Kuala Lumpur, semalam.
PERJELAS...Idris memberi penerangan pada taklimat ETP di Kuala Lumpur, semalam.

UNIT Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) mengumumkan pelaksanaan projek dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan pelaburan RM10 bilion setakat ini iaitu dua pertiga daripada RM15 bilion yang dirancang sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Idris Jala berkata, sebanyak RM5 bilion lagi tambahan pelaburan dijangka akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.


“Untuk tahun ini, pelabur memberi komitmen untuk melaburkan RM15 bilion. Sejak dilancarkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) 25 Oktober tahun lalu sehingga kini RM10 bilion sudah dilaksanakan atau 64 peratus daripada jumlah yang dirancang.

“Selain itu, sebanyak 70 daripada 131 Projek Permulaan (EPP) atau 53 peratus, sudah dilaksanakan setakat ini. Dengan mengambil kira sebahagiannya mempunyai lebih daripada satu projek, kini sudah ada 97 projek yang sedang dalam pelbagai tahap pelaksanaan,” katanya pada taklimat mengenai ETP selepas setahun dilancarkan di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata keyakinan pihak swasta terhadap ekonomi tempatan semakin meningkat sejak kerajaan memperkenalkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).


“Dengan memberi tumpuan kepada 12 NKEA, keyakinan swasta makin meningkat. Ia dicerminkan dalam pelaburan pihak swasta yang meningkat sebanyak 23.4 peratus kepada RM51.2 bilion bagi setengah tahun pertama 2011,” katanya.

Idris berkata, terdapat kemajuan positif dalam ETP selepas hanya setahun diperkenalkan.


“Ini membuktikan kita berada pada landasan tepat untuk menjadi negara maju sekali gus melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: