Wednesday, November 2, 2011

Nilai tanah tak dipengaruhi Khir


RUMAH banglo di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, Shah Alam yang mencetuskan kontroversi selepas dibeli oleh Mohamad Khir pada Mei 2007.


SHAH ALAM - Seorang jurunilai profesional berkata, Dr. Mohamad Khir Toyo tidak mempengaruhi proses penilaian yang dibuat syarikatnya terhadap dua lot tanah termasuk sebuah rumah banglo milik bekas Menteri Besar Selangor itu di Jalan Suasa 7/1L di sini pada Mei 2007.

Choy Yue Kwong, pengarah urusan syarikat penilai profesional Rahim & Co., memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa penilaiannya pada 14 Mei 2007 mendapati hartanah itu bernilai RM3.5 juta sebagaimana yang ditaksirkan berdasarkan kaedah perbandingan dengan mengambil kira harga hartanah di kawasan setempat.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar, beliau berkata, Mohamad Khir tidak membayangkan apa-apa mengenai nilai harga RM3.5 juta ketika pertemuannya dengan tertuduh di kediaman rasminya di Seksyen 7 di sini sebelum penilaian dilakukan pada hari berkenaan (14 Mei 2007).

Mohd. Dusuki: Semasa pertemuan itu, adakah tertuduh berkata, beliau mahu membeli hartanah RM3.5 juta. Adakah tertuduh membayangkan harganya kepada anda?

Yue Kwong: Tiada.

Yue Kwong memberitahu demikian ketika menyambung keterangan pada perbicaraan kes melibatkan Mohamad Khir yang dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, daripada Pengarah Ditamas Sdn. Bhd. Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi dia sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.

Mohamad Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di sini pada 29 Mei 2007.

Mengulas lanjut, Yue Kwong berkata, beliau tidak mengetahui jumlah pinjaman yang dipohon oleh Mohamad Khir bagi hartanah terbabit dalam pertemuan itu yang turut dihadiri seorang pegawai dari HSBC Bank.

Yue Kwong kelmarin berkata, syarikatnya membuat penilaian ke atas hartanah itu atas permohonan HSBC Bank bagi tujuan pinjaman yang dikemukakan oleh Mohamad Khir.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: