Monday, November 21, 2011

Nilai sentimental Istana Negara lama


TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN (kanan) berkenan menerima menghadap penerima-penerima anugerah selepas majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Persekutuan di Istana Negara lama pada Oktober lalu.


KEPADA mereka yang kerap melalui Jalan Istana, pemandangan deretan bas yang membawa pelancong mengambil gambar pengawal berkuda di luar pekarangan Istana Negara, sudah tidak kelihatan lagi.

Bangunan yang menjadi lambang kedaulatan negara itu telah ditutup secara rasminya pada Majlis Mengunci Pagar Istana pada pukul 9.30 pagi Selasa lalu.

Selepas ini, Istana Negara baharu bernilai RM800 juta yang terletak di Jalan Duta pula akan menjadi kediaman rasmi baharu Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya.

Upacara penutupan yang diadakan baru-baru ini berlangsung dengan penuh bersejarah apabila perarakan masuk anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pasukan pancaragam pusat RAMD dimulakan.

Kumpulan penurun bendera terdiri daripada 10 anggota RAMD kemudian menurunkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong sambil memperdengarkan tiupan paluan akhir yang memaklumkan bahawa Istana Negara akan berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta.

Istiadat diteruskan dengan perarakan kumpulan penurun bendera bersama pasukan istiadat berkuda ke pintu masuk utama istana bagi menyerahkan bendera berkenaan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil.

Sebagai simbol penutupan bangunan, Tengku Farok Husin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri, mengunci pintu masuk utama istana menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara, Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda berkekuatan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.

Banglo


TENGKU FAROK HUSIN ABDUL JALIL (dua dari kiri) menerima Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Penurunan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Istana.


Istana Negara lama yang terletak di lereng bukit Jalan Istana dan berhadapan Jalan Syed Putra dan Sungai Klang sudah 83 tahun bertapak.

Menyorot historiografi istana yang berwarna putih yang ditandai dengan dua kubah emas itu, pada asalnya adalah sebuah banglo milik jutawan dari China, Chan Wing. Ia dibina pada tahun 1928 dengan kos RM150,000 di kawasan seluas 11.34 hektar. Bangunan itu mendapat sentuhan daripada firma Swan & Mclaren.

Pada zaman pendudukan Jepun, banglo itu dijadikan pusat pemerintahan tentera dan sebagai mes pegawainya selama empat tahun iaitu dari tahun 1942 hingga 1945.

Sebaik tentera Jepun berundur dari Malaya, bangunan itu dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah yang kembali bertakhta.

Bangunan kemegahan itu bertukar tangan sekali lagi. Kerajaan Persekutuan pada tahun 1957 telah membelinya dengan nilai RM1.4 juta.

Bagi menyerlahkan prestij bangunan itu sebagai lokasi bersemayam pemerintah tertinggi negara, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM328,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian yang selari dengan sebuah negara yang baru merdeka ketika itu.

Selain menyaksikan dapur besar yang boleh memuatkan 100 orang, dewan mengadap, empat bilik tetamu yang luas, dua dewan masuk, sebuah dewan santapan, bilik istana juga ditambah dari 13 buah kepada 20 bilik.

Menariknya, E.K Dinsdale iaitu arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa kontraktor tempatan hanya mengambil masa empat bulan sahaja untuk menyiapkannya tanpa menyentuh struktur utamanya.

Menjelang tahun 1980-an, Istana Negara mengalami pengubahsuaian berskala besar iaitu penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana.

Ia adalah singgahsana pertama dibina dalam Istana Negara untuk majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Sebelum itu, acara pertabalan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang.

Arkitek kanan JKR, Kapten David Wee yang membina singgahsana baharu itu telah menggabungkan elemen lambang kebesaran raja-raja di negara ini.

Pertabalan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1980, merupakan pertabalan pertama diadakan di Balairung Seri itu.

Peranan Istana Negara tidak hanya terbatas kepada tempat bersemayam pemerintah nombor satu negara sahaja. Malah turut diperuntukkan beberapa bilik bagi upacara tertentu seperti bilik Singgahsana Kecil, Dewan Mengadap, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Balairong Seri.


SEJARAH negara. Bangunan kemegahan negara ini pernah menjadi pusat pemerintahan tentera Jepun.


Bagi bilik Singgahsana Kecil, ia digunakan apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri, Istiadat Mengadap dan Menerima Watikah Pelantikan TYT Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Luar Negara.

Bilik itu juga digunakan semasa Istiadat Menerima Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia oleh Ketua Hakim Negara.

Selain itu, ia menjadi tempat Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri.

Warisan Kebangsaan

Dewan Mengadap yang berada tingkat bawah dijadikan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima menghadap tetamu kehormat seperti ketua-ketua negara dan tetamu kenamaan.

Fungsinya juga merangkumi ruang rehat untuk sultan-sultan, raja-raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Yang di-Pertua Negeri semasa persidangan Majlis Raja-raja diadakan di Istana Negara.

Bilik Permaisuri merupakan tempat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima tetamu-tetamu kehormat.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Bintang-bintang dan Pingat-pingat Persekutuan, Hari Keputeraan dan acara berkaitan dengannya dijalankan di Balairong Seri.

Di bilik yang sama, ia turut dijadikan sebagai Dewan Santapan semasa Majlis Santapan Negara meraikan Ketua Asing yang membuat lawatan negara, Majlis Santapan Memuliakan Mesyuarat Raja-Raja dan sebagainya.

Meskipun Istana Negara sudah memiliki bangunan baharu, nilai sentimental dan nostalgianya tidak akan pudar. Adalah sesuatu yang wajar sekiranya istana yang terletak di Jalan Istana ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment