Thursday, November 3, 2011

Nelayan manfaat jeti baru

 IBRAHIM (kanan) dan Adnan  (tengah) melawat jeti Kampung Tanjung Gosong, Pekan.
IBRAHIM (kanan) dan Adnan (tengah) melawat jeti Kampung Tanjung Gosong, Pekan.
Punggah hasil tangkapan, tarik bot tak perlu tunggu air pasang

PEKAN: Kesukaran 50 nelayan di Kampung Tanjung Gosong, dekat sini, menarik bot dan memunggah hasil tangkapan dan bergantung kepada air pasang surut selama lima tahun berakhir dengan siapnya jeti baru yang lebih selesa dan mesra pengguna.
Jeti konkrit berharga RM250,000 itu menggantikan jeti konkrit lama yang bukan saja kecil tetapi kedudukannya rendah menyebabkan nelayan tidak dapat menggunakannya terutama ketika air pasang.
Malah, sebelum ini, nelayan dan penternak ikan air payau Projek Akuakultur Berimpak Besar (HIP-ZIA) Tanjong Gosong terpaksa menghadapi pelbagai kesukaran untuk mengangkut hasil tangkapan masing-masing ke darat.

Bagaimanapun, keprihatinan Jabatan Perikanan negeri menyediakan jeti baru itu akan memberi keselesaan kepada mereka untuk memunggah hasil tangkapan termasuk aktiviti lain.

Nelayan, Zulkarnain Jusof, 47, berkata sebelum ini mereka berhadapan banyak masalah untuk turun dan pulang dari laut terutama ketika air pasang kerana jeti lama tidak dapat digunakan.

"Dulu, pulang dari laut hanya ketika air pasang dan terpaksa berlabuh di tebing pasir serta menolak bot ke darat sebelum menurunkan hasil tangkapan dan menyimpan bot kerana jeti lama tidak dapat digunakan.
"Namun, sekarang masalah tidak ada lagi kerana jeti baru ini lebih selesa dan dilengkapi pelantar pelampung untuk memudahkan nelayan memunggah hasil tangkapan bila-bila masa, selain saiznya yang lebih besar termasuk kemudahan stor menyimpan barangan," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Zulkarnain yang sudah lebih 20 tahun menjadi nelayan berkata, antara kelebihan jeti baru ialah pelantar pelampung yang turun naik mengikut air pasang dan surut seterusnya memudahkan nelayan memunggah hasil tangkapan tanpa mengira waktu.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Jeti Pendaratan dan Pusat Pengumpulan Hasil Kampung Tanjung Gosong yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Ibrahim Awang Ismail.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Adnan Hussain.

Othman Abdul Rasul, 54, pula berkata, sebelum ini penternak ikan yang ingin memindahkan makanan dan hasil ternakan terpaksa menunggu air surut.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perikanan yang prihatin dengan masalah nelayan,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya menyediakan peruntukan kira-kira RM400,000 bagi menyediakan kemudahan jeti, rumah rehat, bantuan sangkar, benih ikan dan makanan kepada lebih 50 nelayan pantai termasuk 34 pengusaha ternakan ikan HIP-ZIA.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: