Ruang luas lagi selesa, berciri santai dan mesra pelanggan kerana menawarkan suasana serba lengkap seperti sebuah rumah selain daya penarik utamanya iaitu menyediakan kemudahan meletak kereta percuma antara penyebab ia begitu popular.
Bahkan, selama hampir dua tahun beroperasi di tempat itu, pejabat yang digarap merujuk gaya Manhattan itu tidak pernah surut dengan kunjungan pelanggan baik yang baru mahupun lama.
“Disebabkan terlalu mengagumi jelmaan rupa ‘kilang’ yang mendasari kebanyakan gaya penataan kediaman di New York, saya cuba menyelitkannya untuk banglo ini pula. Jelas, ia memberi impak besar kerana reaksi pelanggan memaklumkan suasana perbincangan lebih santai dan seronok,” katanya sekali gus membongkarkan inti pati hiasan dalaman gaya itu yang mengemukakan dinding bata tanpa cat, lantai konkrit tidak dikemaskan dengan kayu, jubin, marmar dan sebagainya.
“Teras konsep adalah mengekalkan keaslian material seperti lantai konkrit, dinding tanpa kemasan cat dan jubin manakala kabinet dan ruang penyimpanan menampilkan ira asal kayu.
Berbanding memilih hiasan dalaman ‘chic’ bergaya eksklusif, kesederhanaan Manhattan lebih membantu membina psikologi yang baik dalam kalangan pelanggan.
Mengamati segenap ruang pejabat ini, pelanggan tidak akan beranggapan UBD menawarkan pakej harga tidak munasabah selain berkredibiliti mengilhamkan tata hias menepati keperluan serta citarasa,” katanya.
Bagi merealisasikan gaya Manhattan diidamkan, pengubahsuaian besar-besaran dilakukan membabitkan empat bilik tidur dirobohkan bagi membina ruang pejabat serta ruang tamu, hanya sebuah bilik air dikekalkan semata-mata membentuk ruang bekerja lebih luas, sebahagian ruang dapur dikorbankan untuk sebuah bilik pejabat dan kawasan berbincang serta menyiapkan lakaran pelan manakala selusur tangga dibuang bagi menghidupkan gaya santai sebagaimana dirancang.
“Kos RM150,000 bagi keseluruhan pengubahsuaian sangat berpatutan lebih-lebih lagi ruang dapur yang menawarkan pemasangan kabinet unit dasar dan gantung manakala setiap bilik ahli lembaga pengarah dilengkapi kabinet siap dipasang sebagaimana dilihat di bilik saya.
Namun, saya paling sukakan aura kayu semula jadinya hingga menjadikannya layar projektor ketika membentangkan pelan cadangan kepada pelanggan,” katanya merujuk pejabatnya yang turut memperuntukkan sudut khusus beristirahat dilengkapi sofa fabrik berhias kusyen warna dramatik.
Sofa fabrik warna hitam pekat itu turut berfungsi sebagai titik tumpu ruang, sekali gus memecah penguasaan rona semula jadi yang menyelubungi ruang.
“Biar sudut memuatkan sofa itu bertindak sebagai titik tumpu, sekali gus mencuri tumpuan pengunjung.
Setakat itu sajalah dan jangan ditambah lagi dengan aksesori tidak perlu khususnya permukaan dinding yang sepatutnya memaparkan rentetan gambar projek mega yang pernah syarikat ini kendalikan. Saya fikir profil projek yang dibingkaikan lebih layak dijadikan hiasan pejabat kerana menepati maksud penubuhan syarikat ini,” katanya.
Pun begitu, katanya, sebaiknya, hiasan dinding seumpamanya diketengahkan di bilik peribadi dan sudut yang dikhususkan untuknya saja dan bukannya membabitkan semua bahagian kediaman (pejabat).
“Bagi kes kami, selain menawarkan khidmat rundingan hiasan dalaman, pejabat ini turut menjadi tempat simpanan sementara stok perabot, kemasan serta perhiasan tempahan pelanggan seperti lukisan dinding, arca batu gunung berapi dan guri gergasi dari Bali, pelbagai kelengkapan pejabat serta rumah dan sebagainya.
Mengenangkan perlu memperuntukkan tempat khusus untuknya di samping ingin menyerlahkan estetika produk itu terutama lukisan dan arca, maka sewajarnya pilihan warna mencolok mata dielakkan.
Saya khuatir warna itu akan menenggelamkan reka bentuk dan keindahan produk yang dipamerkan di ruang berkenaan,” katanya ketika membawa kami menyusur segenap ruang banglo berkeluasan 4,500 kaki persegi itu.
Pemilihan pencahayaan samar dan mentol kuning satu lagi bukti kesungguhan UBD dalam merencanakan suasana rumah kediaman buat kaki tangan serta pelanggannya.
“Seperti kediaman mewah yang tidak menyukai lampu bercahaya terang dan berwarna putih, konsep itu turut dipraktikkan di sini. Lampu ini bukan sekadar menyerlahkan keindahan segala isi rumah tetapi mencetuskan perasaan santai dan tenang.
Secara jujurnya, ini yang menjadi prinsip asas pemilihannya iaitu mengukuhkan lagi konsep bekerja dalam suasana rumah sepeti ditetapkan sejak awal mengambil keputusan menyewa banglo ini dulu,” katanya.
Keterangan lanjut sila layari laman web http//benuaunitdesign.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: