![]() |
| Sebahagian ' mangga cinta ' yang dapat dilihat di Love Locks di N Seoul Tower , Bukit Namsan Seoul , Korea. |
KELETIHAN menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Seoul, Korea Selatan bagi mengikuti lawatan Hyundai-Sime Darby Motors baru-baru ini yang mengambil masa lebih enam jam, hilang sejurus menjejakkan kaki di bandar raya itu.
Cuaca kini musim luruh, berangin dan sejuk hingga mencecah 9 darjah celcius cukup menyamankan selain pemandangan indah sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon ke hotel penginapan JW Marriott.
Sejurus tiba di hotel yang terletak di Banpo-dong Seocho-gu, penulis tidak menunggu lama untuk keluar bersiar-siar. Semua rasa penat hilang apabila berpeluang mengunjungi beberapa tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong di sini.
Memandangkan masa untuk berjalan-jalan amat terhad ekoran jadual kerja yang ketat, peluang untuk mengunjungi tempat-tempat tersebut tidak boleh dilepaskan terutama aktiviti membeli-belah.
Destinasi pertama adalah N Seoul Tower yang juga dikenali sebagai Namsan Tower yang mempunyai ketinggian 236.7 meter terletak di Bukit Namsan. Di sini kita boleh melihat pemandangan kepesatan pembangunan bandar raya Seoul dari tempat tinggi.
Selain sesuai dijadikan tempat menghabiskan waktu bersama keluarga, pengunjung di N Seoul Tower juga terdiri daripada pasangan kekasih yang mempunyai 'misi' tersendiri untuk memeterai kasih antara mereka.
Jangan ingat yang bukan-bukan kerana pasangan kekasih ke sini untuk 'mengunci' cinta mereka di 'love locks' iaitu dengan mengunci dua mangga tertera nama mereka bersama di satu sudut khas sebelum kuncinya dibuang.
Tiada siapa mengetahui bagaimana 'love locks' bermula di situ. Namun tindakan yang kononnya dikatakan dapat mengikat perasaan cinta 'dan sayang dua insan berkekalan buat selama-lamanya telah menyebabkan kawasan terbabit dipenuhi dengan 'mangga cinta'.
Bagi mereka yang melancong kali pertama ke Seoul, N Seoul Tower paling sesuai dikunjungi sekiranya mereka mahu mendekati serta mengenali bandar raya tersebut dengan lebih dekat.
Di sini juga terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan antaranya menonton persembahan kebudayaan Korea, berjalan-jalan sambil menikmati pemandangan Seoul di Namsan Park atau pun mengunjungi Muzium Patung Beruang.
Dari N Seoul Tower, lokasi seterusnya adalah ke Namdaemun atau lebih dikenali sebagai 'Gerbang Agung Selatan', pasar borong 'tradisonal' terbesar di Seoul yang menjual pelbagai barangan daripada pakaian hingga kepada makanan.
Kawasan menjual barangan seluas empat hektar itu menempatkan kira-kira 1,000 kedai dan antara perkara paling menarik dapat dilihat di sini selain membeli-belah adalah aktiviti tukaran wang asing masih dilakukan cara lama dengan membuka gerai di tepi jalan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: