Sunday, November 13, 2011

Memartabat warisan bangsa


DENDANGAN lagu yang berkumandang menarik perhatian penonton.


BENARKAH seni warisan bangsa kita semakin dilupakan oleh generasi muda? Kalau melihatkan senario yang berlaku hari ini, banyak benarnya akan persepsi tersebut.

Generasi muda hari ini kurang didedahkan dengan seni persembahan tradisi bangsa seperti zapin dan ghazal sehingga ada yang langsung tidak pernah tahu tentang jenis persembahannya.

Tidak dinafikan kepesatan pembangunan hari ini bagai menolak seni warisan ini kebelakang. Bukan soal tahu atau tidak yang menjadi ukuran tetapi sikap orang kita sendiri yang tidak mengendahkan perkara ini yang menyebabkan ia seakan dilupa.

Mujur ada beberapa agensi yang cukup memulihara seni dan warisan ini agar tidak terus ditelan zaman. Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor misalnya masih lagi aktif mengembangkan seni ini ke pertingkat tertinggi.

Buktinya baru-baru ini telah berlangsungnya persembahan Pesona Jauhar yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang membuktikan keseriusan mereka menangani hal ini.

Paling membangga apabila dewan yang mampu memuatkan lebih 800 orang hampir penuh, terbukti irama tradisonal yang dipersembahkan mampu untuk menarik minat warga kota untuk hadir sama menyaksikan Pesona Jauhar.

Biarpun sedikit tenggelam publisiti yang diberikan oleh pihak media, apa yang pasti persembahan satu malam itu mampu memukau hadirin yang rata-ratanya datang untuk menikmati alunan irama yang didendangkan.

Kehalusan mutu dan kekayaan seni di negeri Johor menjadi wadah dalam pementasan Pesona Jauhar. Seni muzik ghazal dan seni tari zapin merupakan dua elemen seni dari negeri ini yang telah menjelajah jauh ke seluruh dunia dalam pengembaraannya melalui pelbagai dimensi untuk mengekalkan kelestariannya.

Usaha mengangkat mertabat kedua-dua bentuk seni ini telah menempatkan setaraf dengan persembahan-persembahan yang bertaraf dunia. Selayaknya kedua-dua bidang seni ini yang ditonjolkan, merupakan sebagai ikon bagi negeri Johor untuk dipertontonkan dalam visual koridor masa menyelusuri pembinaan sebuah bangsa.

Petikan gambus dan gesekan biola yang didendangkan memukau pandangan khalayak pada pentas yang menghimpunkan 20 pemuzik. Satu persatu alat muzik mula memenuhi ruang diiringi dengan tarian zapin yang mempesonakan.

Paling terkesan apabila hampir keseluruhan khalayak begitu puas menikmati persembahan yang hanya memakan masa satu jam 15 minit itu.

Onn Jaafar yang bertindak selaku Pengarah Persembahan pada malam itu ternyata gembira dengan sambutan yang diberi oleh peminat. Tidak ada kata lain yang mampu diucap selain bersyukur dengan kelancaran persembahan eksklusif itu.

“Inilah kali pertama saya menggabungkan zapin dan ghazal dalam satu pentas. Dalam persembahan lain, biasanya saya kedua-dua ini tidak akan datang serentak. Hanya untuk malam ini sahaja kami beri sedikit kelainan tapi menghiburkan.

“Paling utama apabila kesemua tenaga kreatif mampu memberikan yang terbaik termasuklah para penyanyi, penari dan pemuzik yang berjiwa besar.

“Kami sudah mengembangkan kesenian ini sejak tahun 1996 lagi. Dan sehingga hari ini perkembangannya cukup baik walaupun tidak menyeluruh ke serata Malaysia.

“Kumpulan-kumpulan yang mempersembahkan tarian pada malam ini juga bukan calang-calang. Sudah banyak kali mengiringi persembahan di dalam dan luar negar,” kata Onn Jaafar kepada Pancaindera.

Selain Onn Jaafar antara nama besar yang turut serta termasuklah Omar Taib yang bertindak selaku Pengarah Muzik yang mengiringi persembahan pada malam itu.

Pesona Jauhar terbahagi kepada empat segmen termasuklah Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar yang dikelaskan sebagai proses penceritaan antara babak demi babak.

Antara lagu yang diperdengarkan kepada khalayak termasuklah Nasib Pengail, Awal Bismillah, Kuala Sedili, Lancang Kuning, Tebrau Kampung, Zapin Budi Kamaruddin, Sri Mersing dan Hari Ribut.

Lagu-lagu lain termasuklah Pak Ngah Balik, Penawar Rindu, Pak Ngah Balik dan Si Cantik Manis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: