Monday, November 14, 2011

Manfaatkan kelebihan stesen ISS


Program Angkasawan Malaysia merupakan salah satu langkah agresif negara untuk melibatkan diri dalam bidang penyelidikan angkasa.


Seperti yang kita sedia maklum Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) merupakan sebuah stesen kemudahan penyelidikan antarabangsa yang sekarang ini masih lagi dipasang di orbit rendah bumi.

Terletak pada ketinggian 360 kilometer (km) dari permukaan bumi stesen ini mengorbit bumi setiap 92 minit dengan kelajuan 27,744 kilometer sejam (km/j) sehari.

Stesen ini telah dilancarkan pada 20 November 1998 yang mana tiga orang angkasawan bertugas di stesen itu pada satu-satu masa.

Objektif utama ia diwujudkan adalah untuk melaksanakan pelbagai jenis kajian yang melibatkan angkasa lepas oleh para saintis.

Kini, atas kesedaran bahawa penggunaan stesen itu perlu diperluaskan kepada semua negara terutamanya negara-negara yang sedang membangun satu program bertajuk Mesyuarat Pakar Mengenai Teknologi Angkasa Manusia (HSTEM) akan bermula hari ini sehingga 18 November ini.

Bertempat di hotel Pullman Putrajaya Lakeside, Presint 5, Putrajaya, objektif mesyuarat pakar tersebut adalah untuk membincangkan mekanisme dan kerjasama antarabangsa untuk memanfaatkan ISS.

Menurut Pengarah Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, ia supaya penyelidikan dan penerokaan angkasa lepas yang dilaksanakan di ISS dapat dimanfaatkan oleh semua negara.

"Mesyuarat ini merupakan kali pertama diadakan dan Malaysia selaku bukan negara kuasa utama angkasa di dunia telah terpilih untuk menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut.

"Malaysia diberi kepercayaan berikutan pengalamannya dalam Program Angkasawan Negara (PAN-1) sebelum ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Fakulti Alam Bina, UKM, Bangi baru-baru ini.

Antara fokus yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah untuk menyedarkan negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang manfaa teknologi angkasa dan aplikasinya kepada manusia.

Ia melibatkan pelbagai ujian dalam suasana persekitaran mikro graviti seperti yang telah dilakukan oleh salah seorang penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenaan protein.

Selain agensi-agensi luar terdapat juga agensi tempatan seperti Universiti Malaya (UM), Institut Kemajuan Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta UKM sendiri akan membentangkan hasil kajian.

Diharapkan daripada pembentangan tersebut segala kajian yang telah dijalankan dapat terus dikembangkan.

Tambahnya, Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (ANGKASA UKM) dan Office of Outer Space, PBB dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) diberi tanggungjawab untuk menganjurkannya.

Jelas Mohd. Alauddin, program tersebut akan dihadiri oleh agensi-agensi angkasa utama dunia seperti Agensi Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat, Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Agensi Angkasa Lepas Persekutuan Rusia (Roscosmos).

Seterusnya Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA), Agensi Angkasa Lepas Kanada (CSA) dan Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China (CNSA).

Selain daripada kuasa utama angkasa tersebut, mesyuarat tersebut turut disertai oleh komuniti antarabangsa termasuklah saintis-saintis tempatan.

Sepanjang mesyuarat tersebut berlangsung, satu program khas turut diselitkan untuk memberi peluang orang awam untuk berinteraksi dengan angkasawan.

Seramai empat orang angkasawan dari Malaysia, Jepun, Korea dan China akan menemui orang ramai dalam program yang dinamakan The Future Of Humankind In Space pada 17 November di Planetarium Negara.

Forum tersebut terbuka kepada semua warga Malaysia yang berminat namun anda perlu mendaftar untuk menghadirinya melalui email berikutan tempat adalah terhad.

Untuk sebarang maklumat lanjut anda boleh layari laman web HSTEM di www.ukm.my/hstem/.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: