safa

SEBERANG PERAK - Akibat tidak menerima insentif baja dan racun, petani kawasan Seberang Perak mendakwa terpaksa menanggung kerugian kerana tanaman mereka tidak berapa menjadi.

Antara kawasan yang terlibat adalah, Kampung Sungai Jejawi, Kampung Sungai Ke­rang, Kampung Sungai Timah, Kampung Sungai Buaya dan petani Blok A.

Petani, Azhar Ibrahim, 43, berkata, pihak bertanggungjawab tidak menyerahkan insentif yang sepatutnya mereka terima walaupun padi sudah hampir masak.

Menurutnya, petani rugi kerana hasil padi yang diterima tidak seberapa akibat kekurangan baja dan racun.

“Jika dahulu bagi 1.2 hektar padi kebiasaannya kami boleh memperoleh pendapatan sebanyak RM7,000 hingga RM10,000 tetapi kini hanya meraih sebanyak RM4,000.

“Perkara ini merugikan kami kerana kebanyakan penduduk di sini hanya bergantung pada hasil padi,” katanya kepada Sinar Harian.

Azhar berkata, kelewatan itu berlaku sejak penanaman padi bagi tiga musim yang lalu.

Jelasnya, sebelum ini, tiada kelewatan penyerahan baja dan racun berlaku.

“Kami tertanya-tanya apa yang berlaku dan memohon kerjasama pihak berkaitan bagi memberi penjelasan.

“Bagi petani yang mempunyai kewangan, mereka menyediakannya sendiri tetapi bagi yang tidak mampu sudah tentu terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Bagi petani, Nok Ahmad, 45, selain itu, subsidi baja organik untuk musim lalu juga masih belum diterima.

Katanya, petani tertanya-tanya bagaimana pihak pengurusan mengendalikan perkara itu dan jangan membuat mereka berharap kepada perkara yang tidak pasti.

Sementara itu, petani, Ismail Nayan, 52, berkata, baru-baru ini dalam sidang Parlimen mengatakan ada insentif peningkatan padi dalam jumlah tertentu.

Namun, katanya, apa dikesalkan petani yang mempunyai peningkatan hasil tidak menerima insentif itu.

“Ini juga menimbulkan persoalan kepada kami mengenai insentif berkenaan sama ada berlaku penyelewengan ataupun sekadar omong kosong sahaja,” katanya.